INOVASI teknologi terbaharu yang berkemampuan untuk membantu memenuhi keperluan harian pengguna menjadi tarikan utama empat produk baharu keluaran HUAWEI Malaysia.
Antara empat produk baharu itu adalah HUAWEI MatePad Pro 13.2“, HUAWEI MateBook D 16 bersama HUAWEI FreeClip dan HUAWEI Watch GT 4 Light Gold.
Pengurus Kanan Pemasaran dan Perniagaan HUAWEI Malaysia, Felicia Choong berkata, produk HUAWEI MateBook D 16 kini menyediakan sistem pemprosesan pantas menggunakan teknologi siri H Intel Core i9.

Komputer riba itu tampil dengan skrin besar berukuran 16 inci dengan ciri-ciri mudah alih dan ringan yang bakal menjadi pilihan utama pembeli.
Tambah Felicia, harga peranti tersebut bermula dari RM3,699 sehingga RM5,299 bagi generasi ke-13 dan pra tempah boleh dibuat bermula 9 Januari sehingga 2 Februari 2024.
Sementara itu, MatePad Pro 13.2” tampil bersama ciri skrin OLED yang lebih fleksibel dan sistem audio terbaharu bagi interaksi yang lebih mudah dan dapat membantu pengguna dalam produktiviti serta pelaksanaan kerja.
Tablet nipis itu juga hadir dengan dua pilihan warna iaitu hitam keemasan dan hijau, harga peranti itu bermula dari RM4,599 hingga RM4,999 dan pra tempah bermula 9 Januari sehingga 25 Januari 2024
“MatePad Pro 13.2” merupakan skrin peranti tablet bersaiz 13 inci yang paling nipis dan ringan dalam industri dengan beratnya hanya 580 gram sahaja.
“Pembeli berpeluang mendapatkan hadiah percuma bernilai RM3,145 termasuk papan kekunci magnetik, HUAWEI M-Pencil, HUAWEI Frebuds Pro 2 dan juga HUAWEI Sounds Joy,” katanya ketika majlis pelancaran ‘Creation Of Beauty’ di Menara 106 Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, petang tadi.

Tambahan lagi, HUAWEI turut mengejutkan tetamu dengan produk FreeClip yang membawa teknologi audio yang mesra pengguna serta sesuai untuk pelbagai kegunaan.
Peranti audio yang menampilkan reka bentuk ergonomik akan menjanjikan keselesaan dan versatiliti kepada pengguna.
HUAWEI FreeClip dijual dengan harga RM899 dan terdapat pilihan dua warna iaitu ungu serta hitam selain boleh mendapatkan secara terus tanpa membuat sebarang pra tempahan.
Dalam pada itu, HUAWEI turut menampilkan jam pintar Watch GT 4 Light Gold yang boleh dibuat pra tempahan dengan harga RM1,299 bermula 9 Januari sehingga 1 Februari 2024.

