UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, keputusan itu mengambil kira UMNO sebagai parti yang berteraskan pembelaan kepada rakyat tanpa mengira bangsa.
Menurut Jalaluddin, senarai pendek calon-calon UMNO dan BN Negeri Sembilan akan diserahkan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
Beliau memberi jaminan bahawa UMNO dan BN Negeri Sembilan akan mengemukakan calon-calon yang berkaliber, berwibawa dan pro-rakyat.
“Ia membabitkan mereka yang berpengalaman, orang muda dan wanita dengan latar belakang pendidikan serta kepakaran yang pelbagai.
“Penglibatan komponen BN dalam PRN kali ini juga adalah bergantung kepada perbincangan dan keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, pembubaran DUN itu merupakan amalan demokrasi yang harus diraikan.
“Bagi UMNO Negeri Sembilan, perkembangan ini sebagai suatu usaha kita bersama dalam memelihara untung nasib rakyat negeri kita,” katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada Jumaat bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada PRN Ogos 2023, BN-UMNO menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.
PH pula menguasai 17 kerusi menerusi kemenangan 11 kerusi oleh DAP, lima kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu kerusi oleh Parti Amanah Negara (Amanah).

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

