KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk merealisasikan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 menerusi peruntukan dana sehingga RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pihaknya akan memastikan peruntukan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program-program berimpak tinggi.
Menurut Ramanan, ia dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mengarusperdanakan TVET sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kerjaya negara.
Sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Ramanan menyifatkan inisiatif tersebut akan membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara.
Jelas beliau, langkah itu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membangunkan bakat masa hadapan engara yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan sejajar dengan keperluan industri.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13); Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Pelan Haja Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan turut menaruh keyakinan peruntukan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan PMKS untuk meningkatkan kemahirans erta menyertai sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi.
Katanya, inisiatif itu akan membantu negara memenuhi permintaan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab bakat serantau.
Beliau berkata, dana tersebut akan disalurkan bagi pelaksanaan program-program berimpak tinggi di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Saya juga menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa peruntukan RM50 juta ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan.
“Sinergi ini akan memastikan program TVET sentiasa responsif terhadap perkembangan teknologi baharu, keperluan pelabur serta permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara sekali gus mempercepat transformasi ekosistem TVET dan memperkukuh agenda pembangunan bakat Malaysia MADANI,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

