LIMA beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa maut selepas cuba mengelak dari melanggar seekor babi hutan melintas sebelum merempuh tiang elektrik di jalan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, semalam.
Penunggang motosikal KTM Duke, Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, bersama isterinya, Suhana Othman, 43, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tubuh.
Anak sulung Fatin Hanani,23, berkata, dia menerima duka itu selepas dimaklumkan oleh anggota polis yang datang ke rumah sewa di Taman Pahlawan pada pukul 1 pagi.
Pada mulanya dia tidak percaya akan berita tersebut namun selepas anggota polis bertindak menunjukkan kad pengenalan ibu bapanya, dia terus memeluk empat adiknya sambil menangis.
“Polis membawa kami lima beradik ke lokasi kejadian dan sebaik sampai saya terkejut melihat tubuh bapa di bawah motosikal manakala ibu terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya.
“Saya dan adik-adik hampir rebah melihat keadaan mereka tambahan lagi selepas dimaklumkan yang ibu bapa kami telah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Katanya, dia bersama empat adik beradik Aida Batrisya,17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, seperti hilang arah kerana hilang tempat bergantung.
Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Aida Batrisya berkata, bapanya yang bekerja sebagai Pengurus Jualan Cuckoo dalam perjalanan untuk membeli makanan dan ditemani ibunya yang merupakan suri rumah.
“Sebelum itu bapa mengadu lapar dan mengajak ibu menemaninya untuk ke kedai.
“Tak sangka kami akan menjadi yatim piatu sekelip mata,” katanya yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.
Katanya, Adib Iman yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar mula menangis selepas mengetahui ibu dan bapa mereka telah meninggal semasa berada di Hospital Sultan Abdul Halim.
“Buat masa sekarang, saya dan kakak serta dibantu bapa dan ibu saudara baru sahaja menyelesaikan pengebumian orang tua kami dan belum memikirkan untuk tinggal di mana selepas ini.
“Kemungkinan besar kami akan tinggal di rumah yang dibeli ibu dan sekarang didiami nenek di Taman Kempas,” katanya.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Merbok, di sini, pada petang Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

