PAS berharap siasatan Suruhanjanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang anak bekas Perdana Menteri dijalankan mengikut lunas undang-undang dan sebaliknya bukan atas arahan politik.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata partinya menolak pendakwaan terpilih yang digunakan kerajaan Persekutuan untuk menekan lawan politik.
“Tindakan SPRM terhadap anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan kami, tetapi kami sedar suruhanjaya itu mempunyai tugas seperti termaktub dalam akta.
“PAS hanya berharap agar tindakan SPRM itu dibuat berlandaskan undang-undang, bukan kerana arahan berunsur politik kerana ia tidak baik untuk institusi dan tidak baik untuk negara.
“Itu harapan kita,” katanya kepada media di Medan Ilmu, Kota Bharu hari ini seperti dilaporkan BH Online.
Semalam SPRM mengesahkan sudah memanggil ahli perniagaan yang juga anak Dr Mahathir, Mirzan bagi membantu siasatan.
Beliau hadir di ibu pejabat di Putrajaya pada jam 9.30 pagi kelmarin dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Notis itu menghendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis itu.
Perintah terbabit adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Mengulas lanjut berhubung siasatan itu, Mohd Amar berkata ia memeranjatkan kerana anak bekas Perdana Menteri itu bukan baru dalam dunia perniagaan.
Beliau juga hairan kerana tiba-tiba saja tindakan diambil terhadap Mirzan itu sehingga ia dilihat cubaan untuk membalas dendam politik sahaja.
“Selama ini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap beliau tetapi tiba-tiba perkara ini berlaku apabila konflik membabitkan pemimpin tertentu.
“Ini bukan mencerminkan satu imej yang baik untuk masyarakat khususnya masyarakat antarabangsa.
“Ia juga kelihatan seperti kerajaan sekarang sedang memburu musuh politiknya untuk membalas dendam. Ini cuma akan memberikan imej buruk kepada negara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Panchor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

