Isteri Daim petik Shakespeare, ingatkan Anwar ‘kuasa itu sementara’

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

ISTERI Tun Daim Zainuddin memberi ingatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kuasa yang dipegangnya ketika ini hanya sementara.

Pada masa sama, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta menegaskan, perhitungan itu sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakan kuasa.

Na’imah menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan akan membuktikannya di mahkamah.

“Saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu sementara dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.

“Seperti mana kata-kata (William) Shakespeare yang sering kamu petik:

Man, proud man. Drest in a little brief authority. (Manusia yang sombong. Menyarung kuasa yang singkat ini). Yang selebihnya sudah diketahui,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Na’imah turut menegaskan bahawa jenayah yang sebenar adalah perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suaminya serta melunaskan dendam politik terhadap Daim dan keluarga mereka.

Baca artikel lain: Isteri Tun Daim didakwa tidak isytihar harta

Selain itu, beliau berkata, jenayah sebenar juga merangkumi penyalahgunaan institusi utama negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk melunaskan dendam politik.

“Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.

“Jenayah yang sebenar adalah menyasarkan musuh politik anda dengan tuduhan yang direka-reka, sementara dakwaan rasuah melibatkan kroni politik digugurkan seterusnya menimbulkan kemarahan seluruh negara.

“Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi dengan tuduhan tidak berasas ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum.

“Sejak malam tadi ketika berita tersebar saya akan didakwa, saya terharu dengan sokongan orang ramai, sebahagian besarnya tidak kami kenali.

“Saya ucapkan terima kasih dan saya percaya akan dibuktikan tidak bersalah pada akhirnya nanti,” katanya.

Terdahulu, Na’imah, 66, isteri kepada Daim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen dan Alex Tan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Malaysia ucap tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang tahun penubuhan ke-105

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang...

More Articles Like This