SEORANG penganggur warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita di sebuah stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Serdang, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Mudasar, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Urdu dihadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah merogol seorang wanita berusia 29 tahun dan pada masa itu telah meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah pisau.
Selain itu Muhammad Mudasar didakwa merompak telefon bimbit jenis Iphone SE dan wang tunai sebanyak RM80 milik mangsa menggunakan sebilah pisau sebagai senjata ketika melakukan kesalahan itu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jejantas KTM Serdang sekitar jam 12.45 tengah malam pada 14 Januari lalu.
Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.
Manakala bagi kesalahan menyamun mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.
Muhammad Mudasar turut didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29 atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 20 tahun dengan merompak dua telefon bimbit masing-masing jenis Samsung A03 dan Iphone 11 dan dan menggunakan sebilah pisau sebagai senjata semasa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama sekitar jam 11.15 malam pada 30 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan itu, Muhamad Mudasar mengaku bersalah, manakala Muhammad Waqas yang menangis sejurus pertuduhan tersebut dibacakan, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Ekoran itu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon agar mahkamah menetapkan satu tarikh singkat bagi menjatuhkan hukuman ke atas Muhamad Mudasar selain tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh.
Hakim Syahliza kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 26 Februari depan bagi fakta kes dan penjatuhan hukuman ke atas tertuduh.
Manakala sebutan semula kes bagi Muhammad Waqas ditetapkan pada tarikh sama di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor untuk serahan dokumen.
Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Sebelum ini media pada 17 Januari lalu melaporkan pihak polis menahan kedua-dua lelaki itu di kawasan kaki lima kondominium Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan sekitar jam 8.30 malam pada 14 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang baharu seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Dagang, Sungai Besi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

