WALAUPUN tidak diberikan harapan, Malaysia berjaya mengejutkan pasukan terbaik Asia, Korea Selatan dengan mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, sebentar tadi yang penuh mendebarkan dan dramatik.
Walaupun telah tersingkir dari memasuki pusingan seterusnya selepas tewas kepada Jordan dan Bahrain, skuad bimbingan Kim Pan Gon yang sentiasa menerima serangan demi serangan dari pasukan Korea Selatan tidak pernah berputus asa memberi tentangan sehingga pernah mendahului 2-1 pada suatu ketika.
Gol ketiga dan penyamaan Harimau Malaya diperoleh pada waktu kecederaan ketika Korea Selatan hampir pasti mendapat tiga mata penuh selepas mereka mendahului 3-2 ketika permainan diseret ke waktu kecederaan.
Korea Selatan yang mengamalkan strategi menyerang sejak awal berjaya mendahului Malaysia 1-0 dalam separuh masa pertama melalui tandukan pada minit ke-21 menerusi Jeong Woo Yeong yang menyudahkan umpanan Lee Kang In.
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia menunjukkan permainan positif dengan benteng pertahanan berjaya mengekang asakan skuad kendalian Jurgen Klinsmann, selain jentera serangan skuad negara turut mencipta beberapa gerakan ke kubu lawan.
Bersambung babak kedua, jentera pasukan kebangsaan bertukar corak serangan untuk mencari gol penyamaan yang akhirnya membolehkan Malaysia mendapat gol penyamaan melalui jaringan cantik Faisal Halim yang berjaya mengelirukan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-wo.
Harimau Malaya menerima aura baharu apabila asakan bertali-arus membuahkan hasil apabila Malaysia diberikan penalti yang mudah disempurnakan oleh Arif Aiman pada minit ke-62 selepas dia dijatuhkan oleh pemain lawan dalam kotak penalti.
Anak didik Jurgen Klinsmann yang tidak berputus asa selepas ketinggalan 1-2 berjaya memperoleh gol kedua dan penyamaan mereka apabila sepakan percuma Lee Kang-in menerjah jaring pada minit ke-83 menewaskan Ahmad Syihan Azmi.
Korea Selatan berjaya mendapatkan gol ketiga mereka melalui penalti oleh Son-Heung-min pada awal minit kecederaan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran kepada pemain Korea Selatan oleh dua orang pemain pertahanan Malaysia di dalam kotak penalti.
Ketika semua penyokong Malaysia telah putus harapan, rakyat seluruh negara yang berada di stadium dan di rumah menonton televisyen bersorak kegembiraan apabila pemain gantian yang baru masuk Romel Morales berjaya menyamakan kedudukan 3-3 melalui sepakan cantik ketika berlaku keadaan kelam kabut di barisan pertahanan Korea Selatan.
Pintu gol Harimau Malaya bagaimanapun bolos pada minit ke-21 menerusi Jeong Woo Yeong yang menyudahkan umpanan Lee Kang In.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram