Ini kisah aneh yang pernah saya alami. Sudah lama, sekitar tahun 2011 tidak silap saya. Ketika itu, saya bersama ayah dan tiga orang abang melawat rumah yang satu ketika dahulu didiami oleh nenek saudara kami yang biasa disapa sebagai Nek Embun.
Rumah tersebut terbiar tanpa jagaan hampir tiga tahun setelah Nek Embun tidak lagi tinggal di situ. Tahu-tahu sajalah bagaimana keadaannya. Di luar semak samun. Di dalamnya pula, habuk sana-sini.
Kami berlima membersihkan ala kadar sahaja bahagian luar rumah. Sekadar menebas lalang dan memotong rumput yang panjang. Ayah kata, minggu berikutnya kami akan datang lagi untuk membersihkan kawasan laman yang tidak sempat dibersihkan keseluruhannya.
Ketika membersihkan kawasan luar rumah, saya melihat ayah terdiam. Dia seolah-olah memasang telinga mendengar sesuatu dari arah dalam rumah.
Saya menegurnya. Ayah hanya membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuk pada mulutnya. Kemudian ayah merapati dinding bahagian luar bilik nenek saudara kami itu.
Saya lihat ayah mengerutkan dahi. Kami adik-beradik hanya melihat saja kelakuan pelik ayah. Lalu dia melambai tangan mengarahkan kami datang kepadanya. Sekali lagi ayah membuat isyarat senyap.
Gedekkk… gedekgedekkk… gedekgedekkk…
Kami memandang sesama sendiri. “Bunyi mesin jahit,” kata ayah separuh berbisik.
Siapa yang menjahit di dalam rumah? Mana ada sesiapa di dalam rumah. Kami memasang telinga untuk mendengar semula bunyi mesin jahit tadi. Namun, bunyi itu tidak kedengaran lagi.

Ayah mengarahkan kami supaya menyambung kerja-kerja membersihkan halaman rumah. Selesai membersihkan bahagian luar, kami berlima naik ke rumah untuk membersihkan bahagian dalam pula.
Pada mulanya saya tidak mahu masuk kerana mesin jahit lama yang berbunyi sendiri itu. Apakan daya, disebabkan ayah dan abang-abang semua masuk ke dalam rumah, terpaksalah saya ikut. Takkan saya nak tinggal seorang diri di luar pula.
Saya tidak berani membersihkan sesuatu tempat di dalam rumah itu tanpa ditemani abang-abang atau ayah. Saya ikut saja ke mana Abang Long pergi. Kalau dia bersihkan almari, saya juga turut bersihkan almari yang sama.
Kemudian, saya membersihkan kawasan di bahagian penjuru ruang tengah, kerana di situ ada Abang Ngah. Adakalanya saya membantu Abang Chik membersihkan bilik tamu.
Ketika melintasi bilik Nek Embun, saya perasan ada kelibat seseorang duduk di depan mesin jahit. Saya tergamam, tidak terkata apa-apa. Dengan tangan yang terketar-ketar, saya melambai ke arah abang-abang dan ayah supaya datang ke arah saya. Saya membuat isyarat supaya mereka bergerak dengan perlahan supaya tidak mengganggu orang yang duduk mengadap mesin jahit itu.
Susuk tubuh orang yang duduk di depan mesin jahit membelakangkan kami itu saling tak tumpah seperti Nek Embun. Dia hanya duduk di situ tanpa berbuat apa-apa.
Adakah dia sedang menjahit? Kalau nak kata menjahit, tidak juga, kerana kriut-kriut bunyi mesin jahit langsung tidak ada.

BEDEBAMMM!
Ketika kami berlima sedang memerhatikan susuk tubuh tadi, tiba-tiba pintu bilik itu tertutup sendiri. Kami semua terkejut. Pandangan kami dihadang oleh daun pintu. Adakah Nek Embun tahu yang kami sedang memerhatikannya?
Ayah menolak semula daun pintu supaya terbuka. Walaupun pintu itu tidak berselak atau berkunci, namun kudrat ayah tidak mampu membukanya. Abang Long menghulur tangan membantu ayah, namun hampa. Pintu gagal dibuka.
Akhirnya ketiga-tiga abang saya dan ayah, sama-sama menolak daun pintu itu dengan sekuat hati. Dengan empat kudrat lelaki dewasa, barulah pintu tersebut berjaya dibuka. Bila menjengah ke dalam bilik, kelibat Nek Embun tadi sudah tiada di depan mesin jahit lama itu.
Ayah dan abang-abang saya masuk ke dalam bilik Nek Embun. Saya hanya tunggu di pintu biliknya saja. Disebabkan Maghrib hampir tiba, ayah menyuruh kami menutup semua tingkap dan pintu untuk pulang ke rumah.
Setelah semuanya selesai, kami pun meninggalkan rumah limas cantik Nek Embun yang sudah berusia hampir 100 tahun itu. Ketika SUV ayah meninggalkan halaman rumah untuk membelok ke jalan besar, tiba-tiba Abang Long beristighfar. Kami memandang ke arahnya. Tanpa berkata, Abang Long menuding jari ke arah rumah Nek Embun.
Nun di sebelah sana, Nek Embun sedang memerhatikan kami dari bilik yang menempatkan mesin jahit itu. Ayah tidak menghiraukannya langsung. Dia terus memandu meninggalkan halaman rumah tersebut.
Kami semua telah pastikan bahawa tidak ada pintu atau tingkap yang terbuka sebelum meninggalkan rumah tersebut. Macam mana tingkap itu boleh terbuka? Adakah Nek Embun yang membukanya?
Persoalannya, siapa yang berdiri di tingkap bilik nenek saudara kami itu sebenarnya? Siapa pula yang duduk mengadap mesin jahit yang kami nampak tadi?
Memanglah kelihatan seperti Nek Embun. Tapi kami yakin seratus peratus bahawa orang itu bukan Nek Embun, sebab nenek saudara kami itu sebenarnya telah meninggal dunia tiga tahun lepas. Sebab itulah rumah tersebut kosong. Jadi, siapa ‘penghuni’ yang kami nampak itu?
Kiriman : Siti Nurfadilah, Johor.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

