Penyanyi dan komposer lagu ketuhanan, Daqmie, menampilkan keunikan apabila memuatkan dua buah lagu hasil sentuhan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif sebagai penulis lirik.
Daqmie turut meluahkan kesyukuran apabila laluan menjalin kerjasama dengan Mohd Ariffin dan kerajaan negeri Sabah dipermudahkan sementelah Sabah antara negeri yang cukup proaktif dalam mengenengahkan lagu berunsur ketuhanan dan dakwah.
“Sabah antara negeri yang cukup aktif dalam menjalankan program berunsur dakwah dan cara pemikiran kami juga sama. Jadi apabila timbul idea untuk bekerjasama dan selepas perbincangan, terhasillah Ramadan 1445 sebagai produk pertama kami.
“Kami boleh tumpukan perhatian pada bulan Ramadan dengan memilih dua lagu ciptaan Datuk Dr Mohd Ariffin iaitu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan,” ulasnya turut menyatakan album ini menampilkan kerjasama kumpulan Rabbani dan kumpulan Syahmura dari Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Ariffin turut menyatakan keterujaan apabila diberi peluang menterjemah emosi dalam berkarya disamping dapat menyampaikan dakwah.
Album ini merupakan langkah awal Daqmie Music Factory menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Mohd Ariffin dalam mengembalikan semula kegemilangan nasyid di Sabah.
“Saya sangat yakin akan kemampuan beliau, lebih-lebih lagi dia salah seorang yang membangunkan irama nasyid di Malaysia. Mudah-mudahan Sabah juga dapat dibangun dan diperkasa dengan irama nasyid.
“Sebenarnya lagu ini sudah lama tersimpan dan ia merupakan antara koleksi lirik yang telah saya tulis. Selepas perbincangan dengan Daqmie, lagu ini kemudian diberi nafas baharu.
“Bagi saya menulis ini bagaikan terapi dan ia membantu menterjemah emosi dalam berkarya selain dijadikan wadah dakwah. Karya seharusnya menjadi ibadah, bukan sahaja di dunia, malah akhirat.
“Kami di Sabah sendiri sangat aktif dalam memperjuangkan irama nasyid dan bakal mengadakan pertandingan nasyid Nusantara,” ujarnya ditemui selepas melancarkan album Ramadan 1445 di Bukit Aman.
Selain Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan, Ramadan 1445 turut memuatkan 10 koleksi doa untuk dihayati.

