SEMPENA kedatangan bulan Ramadan yang penuh barakah, Daqmie Music Factory (DMF) dengan kerjasama Perkim Datuk Keramat (PDK) telah berkolaborasi untuk menghasilkan sebuah projek single nasyid berjudul Hulurkan.
Projek tersebut adalah sebuah inisiatif bersama DMF dan PDF untuk terus menyampaikan dakwah serta mengumpul dana bagi tujuan pelbagai program kebajikan serta pendidikan sepanjang tahun ini.
Menariknya lagi, single itu juga dinyanyikan dan dijayakan gabungan tujuh penyanyi nasyid terkenal iaitu Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati serta Daqmie sendiri.
Pengasas DMF iaitu Daqmie berkata, inspirasi Hulurkan tercetus daripada lagu We Are The World iaitu sebuah projek lagu amal yang menggabungkan ramai artis terkemuka Amerika Syarikat pada 1985 untuk mengumpul dana bagi mengatasi kebuluran terburuk di Ethiopia dari tahun 1983 hingga 1985.
“Sepertimana We Are The World, Hulurkan juga adalah sebuah lagu yang membawa mesej kemanusiaan penuh harmoni dan kasih sayang yang mengajak kita semua untuk sama-sama beramal dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan terutama sepanjang mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan.
“Bantuan yang dihulurkan itu juga boleh dilakukan secara nampak atau tidak nampak, dalam bermacam bentuk sama ada kewangan, barangan, masa, tenaga, harta serta doa yang tidak putus-putus,” katanya.
Menurut Daqmie lagi, projek lagu itu dicetuskan selepas dia dilantik sebagai duta PDK selama dua tahun.
“Tapi, saya rasa projek ini akan menjadi lebih signifikan andai lebih ramai penyanyi atau kumpulan nasyid yang terlibat kerana mereka juga boleh menjayakan aktiviti-aktiviti yang sudah dirancang PDK.
“Sebetulnya, saya telah mengajak ramai penyanyi dan kumpulan nasyid di Malaysia untuk terlibat dalam projek ini tetapi yang berminat dan memberikan respon adalah Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran serta Cahaya Hati,” kongsinya.
Sementara itu, Pengerusi PDK iaitu Suhaimi Abdul Aziz pula berkata, pendekatan kesenian, khususnya nasyid, dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk bersama menyokong usaha dakwah yang berterusan.
“Kami percaya bahawa muzik adalah medium yang dekat di hati masyarakat. Melalui single ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai untuk bersama menyumbang kepada usaha dakwah dan kebajikan yang kami laksanakan,” ulasnya.
Pelancaran Hulurkan bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyokong enam inisiatif utama PDK antarana menampung kos operasi Rumah Mualaf PDK, Aktiviti dakwah berterusan iaitu kelas pengajian, kebajikan, pendidikan dan pelbagai program untuk saudara baru serta masyarakat Non-Muslim.
Selain itu, dana pembelian kenderaan yang memerlukan sebuah van berkapasiti 18 tempat duduk bagi kegunaan pengangkutan mualaf, Pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam dengan projek anggaran kos sebanyak RM3.5 juta yang akan digunakan untuk pendidikan, penginapan, dan bimbingan saudara baru.
Malah, sumbangan terkumpul itu juga turut akan digunakan untuk membangunkan semula Sekolah Al Ummah – Berkolaborasi dalam membangunkan sekolah sedia ada dengan anggaran kos RM3.5 juta. dan Pengurusan Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Al Muqaddasah – menaja 15 orang pelajar asnaf dan anak-anak mualaf untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
PDK berharap lebih ramai pihak akan tampil untuk menyokong usaha ini, sama ada melalui sumbangan atau penyertaan dalam program-program yang dianjurkan.
Hulurkan yang mendapat sokongan daripada Yeop’s Kitchen dan dirakamkan di studio Smart Audio dengan bantuan komposer dan jurutera bunyi, Alfa Booty.
Lagu edaran Arteffects Production milik Hafiz Hamidun dengan kerjasama Sony Music Malaysia itu sudah berada di semua platform digital.
Untuk maklumat lanjut dan sumbangan, orang ramai boleh menghubungi PDK: Alamat: No.2A, Jalan Gurney 2, Datuk Keramat, 54000 Kuala Lumpur No. Telefon: 019-6039187 (Suhaimi), 018-2573069 (Hakim) No. Akaun CIMB Bank: 8600320562

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

