PERKIM Bahagian Datuk Keramat menjalinkan kerjasama dengan penyanyi dan komposer Daqmie bagi menyantuni mualaf di negara ini.
Pengerusinya, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pemilihan Daqmie sebagai Duta Mualaf Perkim Datuk Keramat adalah bertujuan untuk menarik minat lebih ramai golongan mualaf untuk terus mendalami ajaran Islam.

“Setelah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Daqmie, kami bersetuju untuk menjalin kerjasama bagi memantapkan program dakwah khususnya untuk golongan mualaf.
“Antara bentuk kerjasama itu ialah menyediakan kit pembelajaran agama dengan diselitkan unsur hiburan bagi menarik minat dan pemahaman mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Daqmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap pernah melakar sejarah tersendiri apabila album baharunya bertajuk Daqmie Ramadan 1445 habis dijual sebelum dilancarkan Febuari lalu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pemilihannya sebagai Duta Mualaf, Daqmie berkata akan memberikan yang terbaik bagi membantu golongan mualaf memahami Islam dengan lebih mudah.
“Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat, namun Insyallah saya bersama-sama Perkim Datuk Keramat akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk golongan mualaf ini.
“Diharapkan usaha ini akan membantu dan menarik minat mereka untuk terus mendalami ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Daqmie turut berkongsi pihaknya turut berkerjasama dengan Perkim Datuk Keramat bagi menghasilkan lagu-lagu berunsur dakwah mengenai mualaf di negara ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

