Rombakan Exco Johor: Aznan dilantik ganti Norlizah

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin menjadi muka baharu untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor bagi tahun 2024 hingga 2027.

Aznan dilantik bagi menggantikan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi yang juga ADUN Johor Lama, Norlizah Noh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, pelantikan Exco baharu dan penstrukturan semula portfolio bagi tahun 2024-2027 telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu.

“Tahniah kepada ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin yang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Tunku Mahkota Ismail sebentar tadi.

“Semoga apa yang dititahkan kepada Aznan dapat dilaksana dan digalas dengan baik.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang telah dicurahkan kepada negeri serta Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz percaya pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco itu mampu memacu negeri tersebut ke arah lebih baik.

Pada masa sama, beliau turut berharap semua barisan Exco berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin menjadi muka baharu untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor bagi tahun 2024 hingga 2027. GAMBAR: Facebook Onn Hafiz

Baca artikel lain: Rombakan portfolio Exco Johor diumum seminggu lagi – Onn Hafiz

“Saya sedar dan insaf sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penstrukturan semula portfolio Exco menyaksikan Onn Hafiz yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor, menambah Pelancongan dalam portfolio beliau.

Berikut merupakan senarai Exco dan portfolio masing-masing:

Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) – Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor

Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor

Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor

K. Raven Kumar (ADUN Tenggaroh) – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor

Khairin-Nisa Ismail @ Md On (ADUN Serom) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor

Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin) – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor

Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah) – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor

Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor

Lee Ting Han (ADUN Paloh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor

Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor

Aznan Tamin (ADUN Tanjung Surat) – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This