Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

Dari Penulis

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung DAP.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendirian beliau lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, bukannya sentimen perkauman.

“Beliau (MB Johor) bukan jenis chauvinis, perkauman, apabila menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik.

“Sepanjang menerajui Johor, Datuk (Onn Hafiz) telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik,” jelasnya dalam kenyataan.

Zambry berkata, harus diingat bahawa Johor pada penggal lalu ditadbir oleh BN sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Oleh itu katanya, pendirian politik yang dinyatakan beliau perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri dan mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor.

“Pada masa yang sama kita juga sering mendengar pelbagai kritikan, sindiran malah kecaman terhadap UMNO dan BN yang dilontarkan di pentas-pentas politik pihak lain.

“Namun, kita tidak pula menjadikannya isu besar atau menyerang mereka secara berlebihan,” katanya.

Menurut beliau, apa yang lebih penting ialah komitmen semua pihak untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Dalam aspek ini, Datuk Onn Hafiz terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Menteri Besar Johor.

“Daripada terus membesarkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, adalah lebih baik semua pihak menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

“Akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecahbelahkan,” katanya.

Terdahulu Onn Hafiz menolak kerjasama BN dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) jika membentuk kerajaan negeri selepas PRN nanti.

Beliau menegaskan bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan BN.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Surat bahasa Cina MBIP berlaku era PH, bukan pentadbiran sekarang – Exco

KERAJAAN Johor menegaskan isu surat rasmi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan Bahasa Cina dan kembali tular di...

More Articles Like This