KOD Etika Wartawan Malaysia yang menjadi asas serta rujukan pengamal media perlu sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi semasa.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Ashwad Ismail berkata meskipun kod etika kewartawanan bukanlah sesuatu yang baharu, namun dokumen itu perlu sentiasa dikemas kini bagi memperkasa industri media.
“Etika kewartawanan merupakan panduan atau kompas dalam menjalankan tugas sebagai wartawan atau pengamal media.
“Ia sebagai ‘refresher’ untuk memperingatkan kita semula kenapa kod etika wartawan ini seumpama ‘a living document’. Dokumen yang sentiasa ‘hidup’ dan perlu diperbaharui dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui sempena Program Jejak Serumpun ISWAMI Malaysia di Jakarta, hari ini.
Terdahulu, di Putrajaya, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi terbaharu, sebagai panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini rakyat.
Kod etika itu yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menggarap lapan etika utama meliputi aspek tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat, ketelusan, adil dalam penyampaian informasi dan pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.
Baca artikel lain: ISWAMI buka ruang pertukaran nilai jurnalistik Malaysia-Indonesia
Menurut kod etika itu, wartawan juga perlu memastikan kesahihan dan ketetapan maklumat; menghormati privasi dan kerahsiaan sumber; memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan di samping memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Sementara itu, delegasi pimpinan ISWAMI Malaysia seramai 33 orang yang terdiri daripada ketua-ketua pengarang agensi berita, barisan pimpinan ISWAMI Malaysia dan wartawan dari Malaysia, akan menghadiri sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan seluruh Indonesia pada pukul 3 petang ini (waktu tempatan).
Delegasi itu diketuai Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin mewakili Kementerian Komunikasi.
Selain Nur-ul Afida dan Ashwad, antara yang turut sama hadir Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia yang juga Pengarang Urusan Kumpulan NSTP serta Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

