PELAKON dan penerbit Syed Aiman mendedahkan filem terbitan syarikatnya iaitu Janna Endoro memaparkan banyak tauladan selain mesej yang ingin disampaikan kepada penonton bersesuaian dengan realiti masyarakat hari ini.
Kongsi Syed Aiman atau Syed Aiman Syed Mahmud, 49, dia sengaja menjadikan Kelantan sebagai latar tempat untuk filem sulungnya itu kerana membesar di negeri itu.

“Cerita ini lebih kepada tentang moral. Lebih-lebih lagi dalam sesebuah instituisi kekeluargaan, kita kena fikir benda yang baik dahulu sebelum nak buat sesuatu perkara.
“Banyak pengajaran yang boleh penonton dapat dalam filem ini berbanding keburukan.
“Ia sesuai ditonton oleh semua masyarakat tanpa perlu memikirkan sentimen kenegerian,” katanya kepada URTV.
Syed Aiman berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Janna Endoro di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, Syed Aiman bersikap terbuka sekiranya ada yang cuba mengkritik filem aksi itu bersifat rasis terhadap lelaki Kelantan yang digambarkan sebagai malas bekerja, kaki judi dan kaki pukul.
“Dalam hidup, kita kena bersikap terbuka. Apa yang digambarkan dalam filem ini tidak semuanya realiti.
“Mungkin hanya segelintir bersikap buruk tapi saya cuba sampaikan perkara itu dalam bentuk kiasan, seperti dalam dialog yang dilontarkan Wan Hanafi Su.
“Saya tak ada niat nak sindir sesiapa. Saya juga orang Kelantan dan membesar di negeri itu.
“Tak mungkinlah saya sendiri nak jatuhkan martabat negeri kelahiran saya,” tegas pemilik syarikat produksi Double Channel Sdn Bhd.
Enggan ikut peraturan punca pawagam di Kelantan tak diluluskan
Biarpun mengangkat kisah masyarakat dan kebudayaan negeri Cik Siti Wan Kembang,tetapi sayangnya tiada satu pun pawagam yang dibina untuk menarik penonton menyaksikan karya anak tempatan.
Mengulas isu tersebut, Syed Aiman mengaku ada membuat diskusi bersama pihak kerajaan negeri, tiga tahun lalu.
“Saya bersama beberapa penerbit termasuk Sabri Yunus ada buat perjumpaan bagi membincangkan penubuhan pawagam di Kelantan yang dikendalikan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu.
“Sebenarnya kerajaan negeri tiada halangan untuk buka pawagam tapi kena ikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.
Antara peraturan yang perlu pihak pemilik pawagam ikut ialah lampu tidak boleh terlalu malap ketika filem ditayangkan dalam panggung wayang.
Selain itu, penonton lelaki dan perempuan perlu duduk berasingan serta tidak boleh ditayangkan sebarang filem ketika masuk waktu solat Jumaat.
“Tapi pemilik-pemilik pawagam tidak dapat terima peraturan tersebut kerana mereka bimbang tak dapat keuntungan,” ulasnya.
Sebagai langkah untuk memasarkan filem arahan Sham Jr itu, dia juga telah merancang untuk membuat promosi jelajah terutama di kawasan Pantai Timur iaitu Kuala Terengganu dan Kerteh.
“Kami pilih dua lokasi itu sebab paling berdekatan dengan negeri Kelantan. Filem ini menggunakan sepenuhnya dialek Kelantan dan penggambaran juga 100 peratus di lokasi sama.
“Pelakon pun kebanyakkannya juga berasal dari Kelantan. Mungkin saya akan ikut cara penerbit lain yang menayangkan filem di hotel secara tertutup jika Janna Endoro dapat sambutan.
“Mereka menggunakan cara jualan meja. Dari situlah sebenarnya ada permintaan untuk membuka pawagam di Kelantan,” katanya.
Janna Endoro yang mula menjengah pawagam semalam dilakonkan oleh Trisha Ooi, Pekin Ibrahim, Mohd Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan, Syed Aiman, Danie X-Factor dan ramai lagi.
Filem yang menelan belanja RM1 juta itu menceritakan tentang seorang perempuan, Janna (Trisha Ooi) yang bangkit membela diri selepas anaknya dilarikan oleh samseng lantaran suaminya iaitu Mat Dat (Pekin Ibrahim) gemar berhutang.
Filem ini tampil berbeza apabila mengetengahkan Janna sebagai watak utama atau hero yang jarang-jarang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

