Bukan hanya matawang ringgit sahaja jatuh – Anwar

Dari Penulis

APA yang berlaku kepada nilai ringgit hari ini bukanlah baharu. Matawang itu pernah jatuh sebelum ini, cuma kali ini dianggap paling buruk dalam tempoh 3 dekad.

 Pada 2022 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  Anwar yang ketika itu menjadi Ketua Pembangkang pernah menyatakan bahawa kejatuhan nilai ringgit disebabkan kerajaan tidak tahu menjaga negara dan pelabur tiada keyakinan kepada pengurusan negara.

 Anwar juga ketika itu turut meminta rakyat memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dengan janji mampu memulihkan nilai Ringgit dan menurunkan harga barang.

 Semalam ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan matawang itu, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 meminta supaya isu tersebut tidak dijadikan ‘sepak terajang politik’.

Anwar membuat gesaan itu selepas beberapa pemimpin politik khususnya pembangkang menganggap nilai Ringgit merosot kerana pelabur tiada keyakinan kepada cara kerajaan menguruskan ekonomi negara.

 Bagaimanapun hari ini ketika berucap pada majlis penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor turut menyatakan, bukan hanya ringgit sahaja yang merosot kerana mata wang Jepun (yen), China (renminbi) dan negara Asean lain juga mengalami penurunan.

Katanya,  cuma dolar Singapura yang menjadi satu-satunya mata wang ASEAN yang tidak mengikut rend penyusutan itu.

“Kita hadapi masalah kejatuhan nilai ringgit yangjuga menimpa Yen Jepun, Renminbi China, dan semua mata wang negara ASEAN melainkan Singapura,” katanya  sambile menjelaskan kerajaan pimpinannya sedang berusaha memastikan nilai ringgit kembali melonjak.

Nilai tukaran Ringgit telah berlegar sekitar RM4.77 hingga RM4.78 berbanding dolar AS dalam beberapa hari dagangan lepas.

 Anwar seterusnya berkata,  kejatuhan nilai ringgit adalah cabaran yang serius dan memerlukan kerajaan bertindak dengan pendekatan yang bijak agar tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan perlu mengambil pendekatan seimbang untuk mengekalkan keyakinan pelabur.

“Apabila nilai ringgit jatuh, antara cadangan yang diberikan ialah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Namun, tindakan ini boleh menyebabkan kadar faedah untuk pinjaman kenderaan, pinjaman rumah dan pinjaman kepada peniaga kecil meningkat. Hal ini boleh meningkatkan beban hutang kepada golongan seperti ini,” kata beliau.

Anwar yang menjadi Menteri Kewangan pada 1998 berkata,  pengalaman pada tahun tersebut apabila kadar OPR dinaikkan adalah kerana ketika itu kadar inflasi naik mendadak dan pelaburan yang amat berkurangan.

“Oleh itu, tindakan untuk mengawal kejatuhan nilai ringgit pada ketika ini harus diambil dengan berhati-hati. Keadaan ekonomi terkini menunjukkan bahawa walaupun nilai ringgit turun, inflasi juga turun dan pelaburan negara meningkat.

“Sebagai contoh, pelaburan pada 2023 mencatatkan jumlah yang tertinggi dalam sejarah, menunjukkan kepercayaan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi negara,” katanya.

 Anwar berkata,  kestabilan politik Malaysia dan dasar ekonomi yang jelas adalah faktor penting yang dapat menarik pelabur dan polisi sebegini perlu dikekalkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengekalkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar menghadap TMJ dalam suasana mesra, harmoni

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini. Menurut...

More Articles Like This