
SEMASA melancarkan Laporan Separuh Penggal RMK 12, pada 16 September 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman yang kerajaan akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024).
Ada beberapa KEB yang lepas dianjurkan sekadar melepaskan batok di tangga saja.
Apa pun, kami di Majlis Perundingan Melayu (MPM) tetap optimistik dengan pengumumkan itu. Hal ini kerana kebanyakan pemain industri yang bersekutu dengan kami sudah membina budaya swatadbirurus yang kental, untuk mereka survive sebagai pemain industri yang kebal dan mampan, setanding dengan lain-lain pemain industri dalam dan luar negara.
Jika mereka tidak sampai ke tahap itu nescaya sudah lama mereka tiada lagi dalam kalangan pemain industri yang ada.
Yang kami lebih bimbangkan ialah pengisi golongan B40 yang vulnerable, kurang keupayaan untuk membina daya saing tinggi, bergerak seiringan dengan tempo dan irama negara yang mengimpikan status sebagai negara maju.
Kami mengandaikan, KEB 2024 ini bukanlah sangat untuk memperkasakan lagi pemain industri yang sudah mampu membina budaya swatadbirurus masing-masing.
Tanpa sebarang desakan dari kami untuk KEB 2024 ini dianjurkan, tentunya ada beberapa pertimbangan yang mendorong kerajaan hendak sangat menganjurkannya. Mungkin kerajaan hendak tahu:
Apa puncanya mobiliti sosio ekonomi menaik dalam kalangan bumiputera, begitu rancak suatu ketika dulu, tiba-tiba menjadi tepu (stagnant), sejak beberapa tahun kebelakangan ini;
Kenapa semakin ramai bumiputera mengalami krisis kemerosotan kepercayaan (trust deficit), terdakap pelbagai sifat mazmummah tercela;
Pasal apa kian lantang keluhan kemerosotan keberkesanan sistem penyampaian oleh pelbagai institusi awam dan korporat;
Apa penyebab kerenggangan kesepakatan dalam kalangan pemegang taruh, sehingga merumitkan usaha pemerkasaan agenda bumiputera;
Adakah model pembangunan yang sekian lama digunapakai masih relevan, tanpa perlu berhijrah ke model baharu yang lebih Islamik;
Jika ada petunjuk baharu bagi menetapkan dan menyukat tahap kesejahteraan yang diimpikan, selain hanya berpegang kepada GDP saja;
Atau, kerajaan memerlukan mandat baharu untuk dijuarai dan impian baharu untuk digapai.
Jika didengar sembang-sembang di kedai kopi memanglah banyak yang tak betul dengan prestasi semasa institusi politik bangsa. Akan tetapi, bagi segelintir kami yang mampu mengetepikan nila setitik, untuk dijamah susu sebelanga, kami ingin berikan penghargaan kepada institusi politik bangsa.
Kesungguhan dan keberanian mereka selama inilah maka:
terciptanya gelombang mobiliti sosio ekonomi menaik dalam kalangan bumiputera;
Ramai anak bangsa dididik, disiapsiagakan dan diamanahkan menerajui pelbagai institusi eksekutif awam dan korporat; dan
bersama institusi eksekutif dan institusi masyarakat madani, melahirkan ramai insan terpilih menjadi tokoh tersohor.
Hatta, kami di MPM menyokong hasrat kerajaan menganjurkan KEB ini, untuk: mengajak semua kelompok pemegang taruh duduk semeja, merungkai kemelut dan keluhan dihadapi; merekacipta impian (visi) baharu untuk digapai dan dasar baharu untuk memastikan pencapaian impian itu; rekayasa resipi pembangunan baharu sesuai dengan nilai budaya bangsa dan syariat agama; memilih petunjuk baharu bagi menetapkan dan menyukat kesejahteraan yang diimpikan, serta mandat baharu untuk kerajaan menjuarai agenda ini.
Hendaknya semua usaha itu mampu mengangkat martabat bangsa, menjadi di antara yang termulia dan terbaik di dunia.
Ia adalah kehendak kerajaan, agar kongres ini berbicara beyond economy.
Hendaknya, jika kerajaan sependapat dengan kami di MPM, gunakalah pentas KEB ini untuk merekacipta impian (visi) dan dasar baharu agenda bumiputera, diikuti dengan pemilihan model pembangunan beracuankan kemakmuran, yang wellbeing-centric dan Islamik.
Selain berpandukan impian dan dasar itu, pembentukan model kemakmuran yang Islamik ini, wajib sentiasa merujuk kepada matlamat maqasid syariah, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kesinambungan dengan DEB 1970.
Bila menyentuh DEB 1970, janganlah kita semua mudah sangat terpedaya dengan pemikiran dalam kalangan puak-puak cauvinis yang tak henti-henti melabelkan dasar itu sebagai dasar yang rasis.
Dakyah mereka hanya sekadar penulisan yang berputar belit, tanpa sokongan fakta. Jika pun ada fakta atau bukti, lazimnya mereka akan mengaitkan ia dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. Ini kerana mudah untuk bermain dengan sentimen dan blame game.
Berbalik kepada KEB 2024 ini, tentunya kerajaan ingin melihat pengukuhan aspek human governance dan peningkatan QoL dan SoL bumiputera, menjelang 2065 (Impian 2065). Kerajaan yakin, bumiputera mampu berada dalam kalangan bangsa yang terbaik dan termulia di dunia.
Namun, dalam keadaan semasa, keupayaan dan peluang membina QoL dan SoL tidak sama. Ramai golongan B40, di desa dan bandar (termasuk veteran tentera), sama ada tidak berupaya atau dinafikan peluang yang adil dan saksama untuk mereka.
Hatta, kerajaan wajib memudahcarakan inisiatif pengupayaan dan pengwujudan peluang, bagi memastikan nasib mereka ini terbela. Elok sangatlah jika kerajaan segera menggubal Akta Kesaksamaan Peluang.
Dalam pada itu, kerajaan hendaklah juga menoleh ke belakang, lihat apa yang sudah dilaksanakan dan dicapai sebelum ini.
Sempena kongres itu nanti sangat bagus jika kerajaan mengarahkan pihak berwajib membentangkan kad laporan prestasi terdahulu dan semasa.
Mengenai agenda ekonomi bumiputera, MPM ingin membayangkan enam teras ini menjadi keutamaannya:
syariahkan semua sektor ekonomi kepentingan nasional;
islahkan semua institusi ekonomi kepentingan bumiputera;
islahkan semua institusi pengupaya bisnes;
mesrakan perkhidmatan institusi kewangan dan perbankan;
perkukuhkan institusi ekuiti, pasaran modal dan dana amanah; dan
modelkan semula program keusahawanan bumiputera.
Sama-samalah kita tunggu apakah akan ada azimat untuk bumiputera , daripada KEB 2024 itu nanti.
Insya-Allah, dengan izin-Nya jua, bumiputera mampu membina kehidupan lebih berintegriti, berkualiti dan tahap kehidupan lebih baik, hatta mampu terajui agenda kemakmuran negara.
Penulis adalah Setiausaha Agung MPM

