LIMA tahun selepas putus tunang, pelakon Zara Zya mendedahkan majlis tayangan program Tayangan Perdana Ramadan Astro 2024 semalam, menjadi saksi pertemuan semula dengan aktor Hafreez Adam.
Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin,38, mengaku ia adalah kali pertama mereka berjumpa selepas membuat keputusan untuk tidak lagi bergelar tunangan.
“Selepas putus tunang lima tahun lalu, kami memang tak pernah berjumpa. Bukan mengelak tapi secara kebetulan acara yang kami hadiri berbeza.
“Adakalanya bila saya hadir ke majlis hiburan tapi dia tiada. Macam tu jugalah bila dia pergi mana-mana acara tapi saya tidak ada disitu.
“Namun, hari ini (semalam) buat pertama kalinya kami bertemu di acara ini. Selepas bergambar beramai-ramai, dia ada bertemu dengan saya dan bertanya khabar…itu sahaja tapi terkejut jugalah,” katanya kepada URTV.
Zara berkata demikian di sidang media Program Ramadan Astro di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.
Walaupun cinta antara mereka sudah bertanda noktah, namun Zara profesional sekaligus enggan larut dengan kisah silam.
“Kami profesional dan tiada isu antara sama lain. Perkara yang lepas biarkan berlalu.
“Kami berpisah bukan kerana isu besar sebab masing-masing ada jalan sendiri,” ungkapnya.
Pada masa sama, Zara bersikap terbuka sekiranya ada produksi yang inginkan mereka bergandingan dalam mana-mana drama.
“Tiada masalah kalau nak bekerjasama dengan dia jika semua itu dilakukan atas dasar kerja.
“Sebelum ini, ada tawaran yang mahu kami berkerjasama tapi tak dapat nak buat disebabkan kekangan masa.
“Tapi jika tawaran tersebut untuk projek yang boleh mencetuskan kontroversi dan mengundang kecaman penonton, saya tak akan buat,” jelasnya dengan nada tegas.
Pada 12 Oktober 2019, Zara dan Hafreez melangsungkan pertunangan selepas berkenalan ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran drama Mona Lisa.
Namun, selepas sebulan, Hafreez mengesahkan hubungannya dengan Zara berakhir sejak November 2019 tanpa memberi penjelasan lanjut punca perpisahan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

