Penderma organ berupaya memberikan peluang kedua kepada mereka yang memerlukan. Kejayaan Institut Jantung Negara (IJN) melakukan dua pemindahan jantung melibatkan remaja belasan tahun membuktikan komitmen dan keperluan dalam membangkitkan kesedaran akan kempen derma organ di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, kejayaan melakukan pemindahan jantung dua remaja itu amat bermakna selepas ia terhenti akibat kekurangan penderma organ.
Malah jelasnya, IJN satu-satunya institut perubatan di Malaysia yang mampu melakukan pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru dengan penglibatan doktor pakar bedah terlatih.
“Kami berbangga meraikan dua kemenangan perubatan ini, terutamanya selepas terhenti dalam pembedahan pemindahan kerana kekurangan penderma organ.
“Kejayaan ini juga membuktikan kekuatan komuniti kita. Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang telah membantu kami mengubah kehidupan pesakit muda ini, termasuk Kementerian Kesihatan, Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun kos pembedahan dan rawatan susulan sangat tinggi hingga mencecah lebih RM500,000, namun ianya ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Di Malaysia, kos rawatan untuk pemindahan organ tidak ditanggung oleh insuran namun Kementerian Kesihatan melalui sumber daripada Kementerian Kewangan memberi geran, khusus untuk membantu rakyat Malaysia yang perlu melakukan prosedur ini.
“Buat masa ini data peratusan kejayaan pemindahan organ yang dilakukan di IJN semuanya berjaya, Cuma pesakit perlu menyambung rawatan dan mendapatkan ubatan sepanjang hayat supaya dapat mengelak proses penolakan organ berlaku,” jelasnya.
Meskipun teknologi perubatan semakin maju dan inovatif, negara masih menghadapi masalah kekurangan penderma organ dan IJN memaklumkan terdapat terdapat 22 pesakit di pusat rawatan tersebut sedang menunggu penderma yang sesuai untuk menerima pemindahan.
“Sekarang ada teknologi peranti capaian vaskular implan (IVAD) sebesar tapak tangan sahaja. Ia lebih efektif berbanding (alat yang digunakan) dulu yang sebesar peti sejuk.
“Di negara barat mereka gunakan alat ini sebagai pengganti pemindahan jantung untuk membantu pesakit tahap akhir kegagalan jantung. Mereka dapat hidup lebih lama dengan mengurangkan gejala lemah jantung.
“Masalah yang berlaku ialah negara mengalami masalah kurang penderma dan ia merupakan masalah satu dunia. Kami mahu menyampaikan peringatan akan kepentingan menderma organ. Hanya dengan penderma organ kami mampu menyelamatkan pesakit yang memerlukan dan memberikan mereka peluang kedua untuk hidup,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kedua-dua pesakit yang baru sahaja menerima pemindahan jantung pada Januari lalu semakin pulih selepas pembedahan. Kedua-dua pesakit telah didiagnosis dengan non-ischaemic dilated cardiomyopathy, penyakit otot jantung yang meregangkan dan menipiskan ruang jantung.
Setakat ini IJN telah berjaya menjalankan 29 pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung-paru-paru, 36 pemindahan LVAD dan tujuh prosedur pemindahan LVAD kepada jantung.

