Anak seni dari Teluk Intan, Perak, Zulkefli Mohd Jais menang anugerah utama Bakat Muda Sezaman 2023 dengan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM30,000 dan diberi peluang menyertai Gwangju Biennale di Korea Selatan pada penghujung tahun ini.
Gwanju Biennale adalah pameran seni antarabangsa yang diadakan untuk kali ke-15 dan pada tahun ini mereka memperkenalkan tema Pansori – a soundscape of the 21st century.
Memilih Menara Condong Teluk Intan sebagai idea utama kerana ingin menggambarkan rasa kehilangan dan hubungan antara memori dan geopolitik, jelas Zulkefli, projek itu memberi tumpuan kepada pertindihan aspek, iaitu antara geografi dan sejarah Teluk Intan.
“Saya tertarik dengan idea transformasi yang memberikan saya ruang yang lebih luas untuk meneroka bekas tanda yang terhasil dari penglibatan audiens,” katanya yang berpegang pada pandangan bahawa performatif adalah satu cara untuk menyelami idea yang dicedok dari sesuatu pengalaman.

Menurut kenyataan dikeluarkan Balai Seni Negara, tema Bakat Muda Sezaman 2023 dikekalkan daripada edisi terdahulu dengan fokus seniman muda harus mendekati alam semulajadi dan berinteraksi dengan masyarakat.
“Balai Seni Negara yang berperanan sebagai pusat seni utama di Malaysia sentiasa cakna dalam meraikan seniman tempatan dengan memberi sokongan dan mengangkat hasil karya mereka.
“Pertandingan berprestij akan terus dianjurkan pada masa hadapan dengan harapan industri seni visual kontemporari negara sentiasa berkembang,” kata kenyataan itu.
Penganugerahan Bakat Muda Sezaman 2023 yang diadakan baru-baru ini adalah anjuran Balai Seni Negara yang merupakan platform untuk mengangkat bakat muda dalam seni kontemporari.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Condong Teluk Intan. Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pencarian Bakat Muda Sezaman yang bermula sejak 1974 itu telah melahirkan ramai seniman yang telah mengharumkan nama negara.
Antaranya, Zulkifli Mohd Dahalan, Lee Kian Seng, Thangarajoo Kanniah, Jalaini Abu Hassan, Tan Chin Kuan, Zulkifli Yusoff, Bayu Utomo Radjikin, Nur Hanim Khairuddin, Bibi Chew, Azizan Rahman Paiman dan Suhaila Hashim, Mohd Fuad Arif dan juga Muhammad Hassanuddin Yusof
Mulai 2021 pertandingan Bakat Muda telah menukar formatnya di mana, jika dahulu semua peserta diminta menghantar karya penyertaan ke Balai Seni Negara, kini peserta diminta untuk berkarya di lokasi masing-masing.
Ia bertujuan untuk mengangkat lokasi unik dan menarik seluruh negara, selain mempromosi kawasan berkenaan. Selain itu, ia juga akan dapat memberi pendedahan seni yang lebih meluas kepada masyarakat setempat. Karya yang dipamerkan di luar Kuala Lumpur itu juga diharap dapat memupuk kesedaran terhadap kerja-kerja seni.
Bakat Muda Sezaman 2023 menyaksikan 68 penyertaan awal telah diterima dan 47 daripadanya berjaya mara ke peringkat penjurian.
Selain hadiah utama, empat lagi hadiah pilihan juri yang membawa hadiah bernilai RM15,000 masing-masing dimenangi Mohd Firdaus Naif Omran Zailuddin, Muhamad Nizar Sulaiman, Nazrul Hamzah Nor Azman dan Koh Kai Ting serta Aw Boon Xin.
Pelawat yang datang ke lokasi dan juga dalam talian juga diberi peluang untuk memilih karya yang dirasakan menarik perhatian mereka.
Karya yang dipilih oleh pelawat diberikan hadiah wang tunai RM1,000 dan dimenangi Fithra Dayana, Aufa Nabila, Dhakshini Jeganathan, Siti Nurhayu, Lim Ming Guang, Mohd Firdauf Naif, Azzuan Osman, Abdullah Ehlid Al Walid, Ahmad Soffi Manah dan juga Lai Zhi Hui.

