Seramai 200 orang pelajar termasuk pensyarah Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB) telah menjayakan Program Simposium Kerjaya dan Kewangan 2024 anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Sinergi Budi (Sinergi Budi) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), SSG Consulting dan KVSB, yang diadakan baru-baru ini di KVSB.
Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Perhubungan Strategik & Latihan Sinergi, Mohamad Nizam Abdul Hamid, program seumpama ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai kesedaran perancangan kewangan serta pendedahan potensi kerjaya dalam kewangan Islam terutamanya bidang Takaful dan bidang lain yang berkaitan.
“Sinergi Budi akan terus berbakti untuk kemaslahatan ummah keseluruhannya dengan menganjurkan pelbagai program pada masa akan datang.
“Ia selari dengan objektif penubuhannya dengan menjalin kolaborasi strategik dengan, IPTA, Kolej Vokasional, pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat tertakluk kepada kelulusan dana yang diperolehi,” kata Mohamad Nizam dalam satu kenyataan.
Malah jelasnya, Sinergi Budi ditubuhkan dengan memberi fokus kepada misi kemanusiaan, kebajikan, pendidikan dan pengurusan acara untuk manfaat masyarakat keseluruhannya.
Beliau berkata, ia melibatkan pelajar golongan B40 terutamanya melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kebajikan untuk manfaat pelbagai golongan tersebut.
Pihak Pengurusan KVSB diwakili Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri , Mohd Fazdhli Zakaria, Ketua Jabatan Teknologi Mekanikal, Saliza Mohd Abdul Wahab dan Pensyarah Teknologi Elektrik, Mazura bt Mohd Yasin.
Hadir sama pada simposium ialah Ketua Pegawai Agensi SSG Consulting, Abdul Hakim Johari yang berkongsi ilmu kesedaran perancangan kewangan, peluang kerjaya di samping pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.

