Puasa beri isyarat ‘okey’ kepada sel tunjang

Dari Penulis

Alhamdulillah, sempat lagi kita bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Semoga amalan kita pada bulan penuh berkat ini akan bertambah baik daripada Ramadan yang sebelumnya.

Itu kita memperkatakan soal puasa yang wajib sahaja – sebulan dalam setahun. Pun begitu, dalam Islam banyak peluang untuk kita melakukan puasa-puasa sunat yang besar fadilatnya jika kita ketahui.

Kenapa Islam begitu menggalakkan kita berpuasa? Jawapan ini sudah ditemukan oleh para penyelidik sejak dahulu, namun hasil kajian ini sering dipinggirkan demi menjaga kepentingan industri makanan dan farmaseutikal.

Rahsia kesihatan orang berpuasa ialah kerana sistem imunnya sentiasa diperbaharui. Kajian sekumpulan penyelidik dari University of Southern California (USC) mendapati, puasa merupakan satu cara paling mudah dan efektif dalam menangani masalah kelemahan sistem imunisasi badan. Malah ia tidak membabitkan sebarang kos dan berkesan untuk warga tua.

“Puasa memberi isyarat ‘okey’ kepada sel tunjang (stem cell) untuk mula berkembang biak dan membina seluruh sistem (imun) itu,’’ kata Profesor Valter Longo, pengarang bersama kajian berkenaan yang merupakan profesor gerontologi dan sains biologi di USC. Wawancaranya pernah disiarkan The Telegraph, sebuah akhbar di United Kingdom.

Tambahnya lagi, semasa proses berpuasa, sel tunjang akan menyingkirkan bahagian sel yang rosak, lama atau tidak cekap untuk menjimatkan tenaga. Sel-sel imun yang tidak diperlukan ini, terutama yang ‘rosak’, dikitar semula untuk mendapatkan tenaga bagi menghasilkan ‘sistem imun baharu’.

Kajian USC itu dilakukan ke atas peserta yang diminta berpuasa secara berkala antara dua hingga empat hari setiap bulan, selama enam bulan. Menurut mereka, dengan berpuasa selama tiga hari sahaja, seluruh sistem imun badan dapat dikembalikan sepenuhnya, termasuk di kalangan warga tua. Hasil kajian tersebut diterbitkan dalam Cell Stem Cell, edisi Jun 2014.

Kajian mendapati berpuasa adalah cara efektif menangani kelemahan sistem imunisasi badan.

Para pengkaji yang terlibat mendapati, individu yang berpuasa dalam kitaran yang lama bukan sahaja dapat mencegah kerosakan sistem imun, malah menggalakkan pertumbuhannya.

Badan terpaksa menggunakan simpanan glukosa, lemak dan keton (sebatian organik dua hidrokarbon), selain menguraikan banyak sel darah putih. Dengan setiap kitaran puasa, pengurangan sel darah putih ini menghasilkan perubahan yang merangsang pembentukan sel sistem imun baru oleh sel tunjang. Ringkasnya, sel tunjang yang dorman telah diaktifkan untuk membaharui dirinya.

Proses ini mengurangkan enzim PKA (dikaitkan dengan jangka hayat dan kawalan pembaharuan diri sel dan pluripotency – keupayaan sel baru untuk berubah menjadi beberapa jenis sel) dan paras IGF-1, hormon faktor tumbesaran (yang dikaitkan dengan penuaan, perkembangan tumor dan kanser).

“Apa yang kami perhatikan, baik dalam kajian yang melibatkan manusia mahupun haiwan, bilangan sel darah putih akan menurun bila berpuasa. Namun sebaik sahaja diberi makanan, sel darah itu akan kembali,’’ ujar Dr. Longo.

Ubat Percuma Penyakit

Pengarang bersama kajian itu, Tanya Dorff, pembantu profesor perubatan klinikal di Hospital dan Pusat Kanser Komprehensif Norris, USC, berkata, puasa turut bermanfaat kepada pesakit yang sedang menjalani kemoterapi. 

Pesakit yang berpuasa selama 72 jam (tiga hari) sebelum menjalani rawatan akan kurang merasa kesan sampingan kerana kekurangan sel darah putih melindungi pesakit daripada kesan toksik kemoterapi.

Mark Mattson, profesor neurosains di The Johns Hopkins University dan salah seorang penyelidik terkenal dalam bidang mekanisme sel dan molekul yang menyebabkan gangguan kemerosotan saraf seperti Parkinson dan Alzheimer, telah menerbitkan banyak kajian yang membincangkan bagaimana puasa dua kali seminggu boleh mengurangkan risiko mengidap penyakit Alzheimer dan Parkinson.

Beliau yang juga merupakan Ketua Makmal Neurosains di Institut Penuaan Negara menyatakan, puasa tidak diuar-uarkan sebagai suatu kaedah penyembuhan kerana ia bakal mendatangkan kerugian kepada industri makanan dan farmaseutikal.

Tegasnya, perubahan diet sudah lama diketahui mempunyai kesan pada otak. Kanak-kanak yang mengalami sawan, kurang berdepan dengan masalah itu bila kalori makanan mereka dihadkan atau berpuasa.

“Otak biasa pun, apabila diberi makanan berlebihan, akan mengalami keterujaan tidak terkawal yang menjejaskan fungsi otak,” jelas Mattson dalam kajiannya bersama penyelidik lain yang diterbitkan dalam jurnal Nature Reviews Neuroscience pada 2017.

Puasa sekejap-sekejap merupakan satu ‘cabaran’ kepada otak, sama seperti senaman intensif. Dalam keadaan ini, litar saraf diaktifkan dengan pertumbuhan neuron serta pembentukan dan pengukuhan sinaps. Walaupun otak hanyalah dua peratus daripada berat badan keseluruhan, tapi organ itu memerlukan 20 peratus daripada kalori yang kita ambil.

Berdasarkan kajian-kajiannya, Mattson menyatakan berpuasa lebih berkesan untuk mencabar otak berbanding mengurangkan kalori. Menurutnya, mengurangkan kalori sehingga tidak lebih 500 kalori sehari, selama dua hari seminggu, hanya mempersediakan otak untuk perlindungan. Hanya bahan kimia yang berfungsi pada paras sel diaktifkan.

Sebaliknya, kejutan kerana puasa mendorong otak untuk mewujudkan sel baru. Apabila neuron dipersediakan untuk berkembang, otak menjadi lebih tahan kepada kesan plak protein yang melatari kes Alzheimer atau kerosakan yang disebabkan oleh Parkinson.

Beliau bagaimanapun tidak mengesyorkan puasa untuk kanak-kanak yang terlalu muda, yang masih memerlukan banyak kalori untuk membesar, mahupun kepada orang berumur lebih 70 tahun di mana otak mereka tidak meraih banyak manfaat daripada berpuasa.

Jangan Paksa Makan

Kajian-kajian ini secara tidak langsung menjelaskan kenapa kita tidak perlu beria-ia menyuruh orang sakit makan atau minum. Malah larangan memaksa orang sakit untuk makan dan minum ini telah dinyatakan dalam sepotong hadis.

Daripada Aqabah bin Amir Al-Juhani, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;  “Jangan memaksa orang yang sedang sakit untuk makan dan minum. Ini kerana sesungguhnya Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung yang akan memberi mereka makanan dan minuman.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah).

Hilang selera makan semasa sakit membolehkan badan kita memberikan tumpuan perhatian untuk melawan penyakit dengan mewujudkan sistem imun baharu.  Jika orang sakit dipaksa makan, badan akan mengabaikan fungsinya kerana sibuk mencerna makanan. Kita hanya boleh memaksa orang sakit makan jika penyakitnya disertai dengan gangguan jiwa.

Menurut Ibnu Qayyim dalam buku Perubatan Rasulullah, sebaiknya orang sakit hanya disarankan memakan makanan sekadar untuk memberi tenaga sahaja. Makanan yang sepatutnya diambil oleh orang sakit adalah makanan yang berbau harum atau sedap seperti sup ayam. Manakala badan boleh disegarkan bukan dengan makanan sebaliknya penggunaan wangi-wangian dan mendengar berita yang menyenangkan.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya.” (HR Bukhari & Muslim)

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This