Hajah Fatimah Haji Awang duduk menonton televisyen. Sebentar kemudian terdengar deruman enjin motosikal masuk ke halaman rumahnya dan terus masuk ke belakang. Kedengaran suara Liana, cucunya berusia lima tahun yang baru pulang dari prasekolah lalu menghampirinya.
“Tok, Tok! Cikgu cakap beberapa hari lagi dah nak puasa. Kita kena berpuasa. Sebab puasa ni wajib bagi orang Islam. Yana pun nak puasalah,” kata cucunya yang memang dikenali petah bersuara.
“Ya, nak masuk bulan puasa dah Yana. Tapi sekarang tak rasa dah bila nak masuk bulan puasa. Tak macam zaman tok muda-muda dulu,” kata Hajah Fatimah.
“Dulu macam mana tok?” soal Liana.
Hajah Fatimah mengangkat Liana ke atas ribanya lalu bercerita…
Dulu, masuk sahaja bulan Syaaban, anak-anak teruna sibuk mencari kayu api. Simpanan kayu api paling tidak boleh bertahan selama dua bulan. Mahu digunakan pada bulan puasa, dan juga waktu raya. Waktu ni, ramailah anak teruna masuk ke kebun, ke hutan dan juga ladang-ladang sebab nak cari stok kayu api.
Setiap hari, pulang sahaja dari bendang atau kebun, mereka beramai-ramai cari kayu api. Kalau tak ada kayu api, macam mana nak masak. Sebab dulu-dulu mana ada dapur gas macam sekarang. Semua masak pakai kayu api. Bulan puasa dan raya paling banyak kayu api akan digunakan.
Masuk pertengahan puasa pula, giliran anak-anak dara sibuk menumbuk beras sebab nak buat tepung beras dan tepung pulut. Lepas tumbuk, kena jemur pula bagi betul-betul kering. Masa tu, kalau jumpa dengan rakan-rakan sebaya, topik utamanya mengenai tepung ni.
“Hampa dah banyak mana dah dapat tepung?” soal si A
“Kami banyak dah. Dapat dua gantang dah,” balas si B pula.
“Amboi, cepat na hang tumbuk. Aku baru sikit ja ni. Kena balik tumbuk lagi la lepas ni,” balas si A pula.
Masa tu memang seronok. Siapa yang dapat tepung banyak, kira dia anak dara yang rajin la. Sebab tepung beras dan tepung pulut banyak digunakan dalam bulan puasa untuk membuat kuih bagi juadah berbuka.
Selain tu juga, buah kelapa tua juga penting untuk dibuat santan. Kelapa perlu dicari untuk simpanan selama sebulan. Waktu dulu, mana ada orang jual buah kelapa. Kalau mahu, kena pergi kutip sendiri. Paling tidak pun, boleh ditukar dengan tepung beras atau tepung pulut. Macam sistem barter.
Kalau nak kelapa, kena bagilah segantang tepung beras atau tepung pulut. Maknanya, stok makanan bulan puasa dengan hari raya semua dah ada.

Masuk bulan puasa lagi seronok. Petang-petang, anak dara semua sibuk sediakan juadah. Satu rumah tak sediakan banyak pun, hanya satu jenis kuih dan satu jenis lauk sahaja. Tapi masakannya dalam kuantiti yang banyak. Tujuannya untuk diberikan kepada jiran-jiran.
Bila kita bagi, jiran akan balas balik. Masa berbuka meriahlah. Kalau bagi 10 buah rumah, dapat balasan pun 10 hidangan juga. Jenuh nak habiskan.
“Itu yang boleh bawa ke sahur Yana. Mana tak cukup, baru tok masak lain,” cerita Hajah Fatimah kepada cucunya, Yana. Dia kemudian menyambung ceritanya.
Waktu malam pula, selepas solat terawih, surau akan sediakan moreh. Waktu inilah di mana anak teruna mahu melihat si dara. Masa makan, si teruna duk jeling-jeling. Di dara pula tersipu-sipu malu. Dan waktu ini juga digunakan oleh anak dara untuk berbincang lauk apa mahu di masak untuk berbuka esok.
“Esok hampa nak masak apa?” soal si A.
“Aku nak masak gulai siput kot,” balas si B.
“Oi… Sedapnya. Kalu gitu, aku masak ayam masak merah,” balas si A.
Masing-masing akan berbincang lauk apa yang hendak dimasak. Dan esok kalau sudah masak, mereka akan bertukar-tukar lauk dan kuih. Itu yang paling seronok kalau masuk bulan puasa. Makanan memang tak pernah putus.
Dua minggu sebelum raya, semua sibuk buat kek dan kuih. Konsepnya juga sama dengan juadah buka puasa. Seorang buat hanya satu jenis kuih dan kek sahaja tapi dalam kuantiti yang banyak. Sebab tu dahulu, kalau pergi rumah jiran-jiran, kuih dan kek semuanya sama sahaja. Cuma lauk saja yang berbeza.
Kalau lemang, dodol dan ketupat juga sama. Sebab ia di masak secara gotong-royong. Berpakatlah lima atau enam buah rumah buat sekaligus. Dah siap, semua dibahagikan sama rata. Itulah kehidupan orang kampung dulu-dulu.

“Sekarang ni dah tak rasa dah semua tu Yana. Nak puasa pun dah tak rasa apa-apa dah,” kata Hajah Fatimah kepada cucunya.
Dahulu, selain daripada keseronokan beribadat dalam bulan Ramadan, keseronokan bermasyarakat juga ada. Bulan puasa bukan sahaja bulan keampunan, tetapi juga bulan untuk menyatukan masyarakat.
Tapi kini semua itu sudah sukar ditemui. Juadah berbuka semua dibeli, begitu juga dengan kuih-muih untuk raya. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Ada kalanya suami isteri dan anak-anak tak sempat berbuka bersama.
Anak-anak generasi baru juga lebih senang berbuka dengan kawan-kawan. Walhal bulan puasa inilah patut digunakan untuk mengeratkan kasih sayang, bukan hanya dengan keluarga tetapi juga dengan masyarakat.
Memang benar, bulan Ramadan setiap tahun akan datang, tapi sambutan kedatangannya kini makin hambar dan tidak lagi semeriah dulu. Ayuh, hidupkan kembali kemeriahan itu. Selamat berpuasa!
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

