“SATU cebis bukti pun tidak dapat mereka (Human Rights Watch) kemukakan, tapi laporan telah mereka (HRW) syarah satu dunia.”
Demikian kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyangkal keras dakwaan dalam laporan terbaharu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang mendakwa kumpulan pelarian dan warga asing di pusat tahanan menerima layanan buruk sehingga berlaku kematian.
Bukan itu sahaja, Saifuddin Nasution menegaskan, dakwaan bahawa pusat tahanan Imigresen di seluruh negara berada dalam keadaan sesak seperti yang didakwa HRW juga tidak benar.
Menurut beliau, terdapat 20 depot Imigresen di seluruh negara dengan kapasiti mencecah 20,650 individu.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution memaklumkan, sehingga 7 Mac lalu, jumlah individu yang ditempatkan di pusat tahanan itu adalah seramai 13,655 orang, berada di bawah kapasiti maksimum.
“Ini hakikat yang saya kena bentangkan secara terus terang dalam Dewan ini.
“Laporan HRW tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara, adakah sesak, jawapannya tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).
Guan Eng bertanyakan tentang laporan HRW yang mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di dalam pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti dan wujud kematian dalam kalangan golongan rentan dan kanak-kanak.
Baca artikel lain: ‘’Hal ini masalah diri dia, bukan masalah saya’’ – Sanusi bidas Saifuddin
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, susulan laporan berkenaan, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) telah pun memanggil Jabatan Imigresen untuk memberi penjelasan.
Pada masa sama, beliau memberitahu, HRW turut dipanggil bagi memberi keterangan.
Namun begitu, katanya, HRW tidak dapat memberi pembuktian jelas berhubung dakwaan dalam laporan tersebut.
“Di mana penderaan berlaku, di mana kes kematian, di kem mana? Bekenu, Belantik, Semenyih, Pekan Nanas, Tawau atau Bidor? 20 kem (jadi) di mana penderaan dan kematian berlaku?,” soal Saifuddin Nasution.
Sementara itu, beliau memberitahu, warga Myanmar paling ramai direkodkan berada di depoh imigresen iaitu seramai 4,541, diikuti Indonesia (3,797), Filipina (2,914), Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan negara-negara lain 1,054.
Saifudin berkata mereka yang ditahan di depoh imigresen terdiri daripada individu yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan dan menunggu dokumen perjalanan dan mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan akta pasport.
“Ada juga pemegang kad UNHCR, tetapi mereka terdiri daripada mereka yang melakukan kesalahan undang-undang, kes dadah, rogol bunuh, kes curi nadir bumi di Sik, Kedah pun ada.
“Berapa banyak kita belanja untuk uruskan 20 depoh ini, RM123 juta tahun lepas, makan saja RM83 juta kita belanja.
“Bila kita usir kita bayar duit feri dan kapal terbang, begitu sekali kita jaga, tapi HRW kata kita dera sampai kematian,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

