KERAJAAN akan melaksanakan pemasangan radar tambahan di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga akan membina dua unit ‘mothership’, perolehan helikopter AW189 dan penambahan bot operasi bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
“Hakikatnya, cabaran maritim hari ini semakin kompleks. Jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia terus meningkat, khususnya di laluan strategik seperti Selat Melaka.
“Ketegangan geopolitik di Laut China Selatan serta ancaman penangkapan ikan secara haram dan pencemaran laut turut menuntut kesiapsiagaan berterusan daripada pasukan penguat kuasa kita,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan Program Jelajah Wira MADANI adalah inisiatif bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan barisan hadapan yang sentiasa mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Katanya, program ini lahir daripada ilham Perdana Menteri yang mahu memastikan setiap anggota pasukan keselamatan diberikan pengiktirafan sewajarnya atas tanggungjawab besar dipikul setiap hari.
“Insya-Allah, komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan maritim negara akan terus diperkasa demi memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

