PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Hamburg dari ibu negara Jerman, Berlin untuk lawatan satu hari ke bandar pelabuhan itu.
Anwar, yang tiba di Berlin pada 10 Mac untuk lawatan enam hari ke ekonomi ketiga terbesar di dunia itu, akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Nour.
Masjid itu pada asalnya merupakan sebuah Gereja Capernaum, sebelum ia diubah menjadi rumah ibadah Islam pada 2018.
Sebaik tiba, Anwar dan delegasi disambut Pengerusi Masjid yang juga Naib Pengerusi Majlis Muslim Jerman Daniel Abidin dan juga Imam Samir Al Rajab.
Dalam ucapan ringkasnya, Anwar berkata beliau gembira melihat umat Islam di Jerman hidup aman dengan penduduk yang lain.
Pada masa yang sama beliau berkata penduduk Islam di seluruh dunia tidak boleh berdiam diri dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang kini terkepung.
“Saya berada di Jerman sebagai tetamu Canselor. Kami mengadakan pertemuan dua hala yang baik dengan pemimpin Jerman, serta perbincangan dengan komuniti perniagaan kerana kami ingin menjemput lebih ramai pelabur ke Malaysia,” katanya.
Anwar berkata beliau mengambil kesempatan untuk menyampaikan sentimen dan kebimbangan masyarakat Islam dunia kepada pemimpin Jerman, yang menurutnya turut menghargai beberapa kebimbangan itu.
“Apa yang kita mahu ialah gencatan senjata segera, bantuan segera kepada rakyat Palestin dan penyelesaian jangka panjang dalam usaha mencari keadilan, maruah semua rakyat tanpa mengira agama,” katanya.
Daniel berkata adalah satu penghormatan besar bagi masjid itu untuk menerima kehadiran Perdana Menteri Malaysia hari ini, terutamanya lawatan Anwar jatuh pada Jumaat pertama bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut Samir kira-kira 2,500 jemaah dari 30 negara akan berkumpul untuk solat Jumaat dan mereka sedang mencari ruang yang lebih besar bagi memuatkan lebih ramai orang.
Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam di Jerman, termasuk 140,000 yang tinggal di Hamburg.
Selepas solat Jumaat, Anwar akan ditemu bual oleh agensi berita Jerman Deutsche PresseAgentur (DPA).
Perdana Menteri kemudiannya akan meneruskan misinya untuk menarik pelabur dari Eropah dengan bertemu eksekutif dari syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Belanda, Nexperia. – BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

