SEORANG guru muzik yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan.
Tertuduh, Idi Johan Mohd Zohdi, 45, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.
Idi Johan meminta dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Berdasarkan semua pertuduhan, guru muzik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam pelajar perempuannya berusia 15 tahun bagi maksud seksual.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan masing-masing di dalam bilik kelas dan stor sekolah, sebuah rumah dan kereta di sekitar Sabak Bernam, antara Januari 2025 hingga Februari lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Mengikut Seksyen 16 (1) akta sama, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Namun, peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin merayu pengurangan kerana tertuduh mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah dan tiada rekod jenayah.
“Anak guam saya yang berkhidmat sebagai guru sejak 2002 mempunyai anak perempuan yang bersekolah di tingkatan lima dan tiada sumber pendapatan lain.
“Selain tiada rekod jenayah lampau, dia juga tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin oleh sekolah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan termasuk penyerahan pasport tertuduh sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 30 Julai depan.

