Maritim Pahang tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Dari Penulis

 AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang  menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman Khamis lalu.

 Pengarah Maritim  Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, ketika  rondaan oleh pasukan udara Maritim di sekitar perairan Pahang, mereka  mengesan sebuah bot nelayan yang berada dalam keadaan mencurigakan.

 Sehubungan itu, kata beliau,  kapal Maritim Malaysia yang terlibat dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris diarahkan untuk memeriksa bot tersebut.

‘’Menyedari kehadiran kapal Maritim, bot tersebut cuba melarikan diri dan selepas dikejar lebih 1 jam, bot itu berjaya dipintas seterusnya ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

”Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warganegara Vietnam,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam nelayan Vietnam termasuk tekong yang ditahan Maritim Pahang.

 Mazlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

‘’Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut. Hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

‘’Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru sekiranya disabit salah,’’ katanya.

 Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pasukan penguat kuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya melibatkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This