PELAKON Aiman Hakim Ridza meluahkan perasaan kesal terhadap satu hantaran di Facebook yang berkongsi berita palsu mengenai dirinya yang sudah meninggal dunia.
Aiman atau nama penuhnya Aiman Hakim Ridza Abdoh,35, berkongsi tangkap layar di Instagram Story miliknya mengenai berita palsu mengenai kematiannya adalah tidak benar kerana dia masih dalam keadaan sihat.
Dia menyatakan bahawa dia mengambil sudut positif daripada keadaan itu.
Tambahnya, jika banyak masa dihabiskan di media sosial, orang lain akan mendapat keuntungan daripadanya.
“Ada orang ‘DM’ tentang perkara ini, kita ambil iktibar dari sudut positif. Pertamanya, alhamdulillah aku hidup lagi.
“Kedua, media sosial macam ni tau, lagi banyak korang habiskan masa dekat media sosial lagi banyak la orang lain yang untung,” luahnya menerusi story Instagram miliknya.
Aiman juga memberi gambaran mengenai bagaimana kandungan media sosial seperti itu boleh mendapatkan keuntungan menerusi bilangan capaian (engagement) pengguna di media sosial.
Pelakon itu menjelaskan lagi bahawa di mana-mana sahaja pasti ada orang yang ingin mengambil peluang. Jadi, semakin lama menggunakan media sosial, semakin banyak perkara yang tidak relevan yang berlaku.
Maka, dengan itu, disyorkan untuk mengurangkan penggunaan media sosial. Lebih baik untuk berinteraksi dengan orang yang paling dekat secara langsung.
“Sama juga dekat mana-mana pun, akan ada orang yang nak ambil kesempatan.
“Lagi lama korang layan media sosial, lagi banyak benda merapu akan keluar, kesimpulan disini adalah kurangkan main media sosial, borak-borak dengan orang yang terdekat,” luahnya lagi.

