

TANPA ilmu, sukar bagi seseorang membezakan antara putih atauu hitam bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam kehidupan.
Perkara itu ditegaskan Prof Madya Dr Domaeng Tote, pensyarah di University Phitsanulok, Thailand yang ‘mengabdikan’ dirinya umpama lilin kepada anak-anak muda di selatan Thai.
Bagi anak jati Pattani itu, soal keamanan di wilayah tersebut tentunya penting, namun berada di luar kawalannya.

Justeru, kata beliau, taraf kehidupan penduduk selatan Thai boleh berubah dan ditingkatkan menerusi pendidikan yang mantap.
“Umat Islam (selatan Thai) kena tahu yang mana tahi lembu dan yang mana dodol. Kadang-kadang (apabila diberi) perkara yang tidak betul, (mereka) tak ada ilmu dan pelajaran.

“Jika (disuruh) makan tahi lembu (sudah tentu) najis. Kalau makan dodol dengan banyak pun boleh mengakibatkan penyakit kencing manis. Jadi, kita kena tahu membezakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Jamek Pattani, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pensyarah jurusan pendidikan itu memberitahu telah melancarkan projek kecil mengajar dan membantu anak-anak muda di selatan Thai secara percuma.
“Itu bukan kerja saya (pastikan keamanan). Kerja saya adalah memberi dan mengajar anak-anak di selatan Thai ini supaya boleh kenal ilmu. Tahu putih atau hitam.
“Pendidikan itu penting. Ia boleh menentukan kejayaan seseorang. Jika terima didikan tidak betul, maka jadi tidak betul. Itu atas kita. Walaupun projek saya ini kecil, tapi saya yakin Allah tahu,” katanya.

Baca artikel lain: 2 warga Malaysia maut dalam kemalangan jalan raya di Pattalung, Thailand
Sementara itu, Domaeng menzahirkan rasa syukur apabila kehadiran Ramadan tahun ini memberi seribu makna kepada umat Islam terutama di Pattani kerana dapat menyambutnya dengan meriah.
“Seperti kita lihat di Masjid Jamek Pattani ini, ribuan orang datang untuk menunaikan solat sunat tarawih. Keadaan di sini bertambah baik pasca COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Masjid Jamek Pattani, Abdul Razak Senik bersyukur kerana masjid terbesar dalam daerah itu dapat terus diimarahkan dalam bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Abdul Razak, setiap hari Masjid Jamek Pattani menerima kehadiran sekitar 3,000 jemaah bukan sahaja dari Pattani bahkan Yala dan Songkhla.

Beliau turut berharap keberkatan Ramadan dapat dinikmati dan diteruskan dengan lebih baik pada masa hadapan.
“Orang Islam ini suka pada keamanan dan ketenangan. Kalau kita lihat suasana khususnya di kawasan masjid ini, semua (jemaah) berasa selamat di sini.

“Harapan besar penduduk di selatan Thai ini bahawa semua krisis itu dapat diselesaikan secara rundingan dengan baik.
“Sama-sama kaji apakah yang menjadi krisis antara satu sama lain. Itu yang penting. Sementara itu, kami di sini berdoa semoga semua krisis itu berakhir dengan baik,” katanya.




Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

