

“APA sahaja perjuangan kita kalau lari daripada perjuangan Rasulullah SAW memang sesat. Maka, saya tengok perjuangan mereka tak sama dengan perjuangan Rasulullah.”
Itu kata bekas ahli puak pemisah, Saleh (bukan nama sebenar) yang akhirnya menyedari bahawa fahaman dan ideologi ‘ditanam’ dalam setiap ahli bukan ajaran Islam yang sebenar.
Saleh yang kini berusia 54 tahun mula menyertai kumpulan pemisah itu pada tahun 1992 selepas lulus pengajian dalam bidang agama Islam.
Pada asalnya, Saleh memberitahu, dia tertarik memasuki kumpulan tersebut dalam usaha berjuang mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah selatan Thai.

Sebaik menyertai kumpulan tersebut, dia ditugaskan menyemai ideologi dalam kalangan anak-anak muda di selatan Thai bagi menaikkan perasaan semangat dan dendam terhadap kerajaan Thailand.
“Setiap kali sampaikan syarahan, mesti kena ‘sangkut’ dengan agama. Betul atau salah tolak ke tepi dahulu.
“Namun begitu, selepas beberapa lama, saya mula cari orang berpengalaman dan berilmu untuk mendalami ajaran (Islam) yang sebenar.

“Sebagai contoh, Rasulullah pernah berpesan apabila keluar berperang, jangan bunuh kanak-kanak, wanita, ahli ibadah dan jangan merosakkan pertanian tapi saya tengok apabila tercetusnya perjuangan ini, wanita, kanak-kanak dan ahli ibadah agama lain pun kena juga. (Berbeza) dengan perjuangan Rasulullah.
“Dari situ saya mula fikir ini bukan jalannya. Salah satunya kalau segi amalan kurang. Di situ saya berfikir ini bukan yang terbaik,” katanya kepada UtusanTV baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Saleh menegaskan perjuangan yang dicetuskan puak pemisah itu hanyalah sia-sia kerana agama Islam bebas diamalkan sepenuhnya di wilayah tersebut.

“Kalau nak berjuang untuk agama, saya lihat kerajaan Siam dah bagi kebebasan agama sepenuhnya. Sekolah agama seperti cendawan.
“Semua dari segi pendidikan, tarbiah dan dakwah tiada halangan langsung, malah markas dakwah tabligh pun boleh dibuka. Jadi, kita kena banyak berfikir, lihat dunia dengan lebih luas,” katanya.
Pada masa sama, Saleh menyifatkan meninggalkan ‘jihad’ keganasan lebih baik buat diri sendiri dan keluarga lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ketika ini.

Baca artikel lain: Mencari Damai Selatan Thai: ‘Umat Islam selatan Thai perlu tahu mana tahi lembu, mana dodol’
Dia juga ingin melihat generasi akan datang di selatan Thai sebagai generasi berkualiti yang mempunyai ilmu pengetahuan dan boleh memimpin menuju menjadi masyarakat terbaik.
“Ini harapan kita, kalau tak ada ilmu sama ada ilmu agama atau dunia, cuma ada pemikiran untuk menentang kerajaan, kita tak dapat maju.
“Yang betul-betul berjuang ini tak ramai pun. Dalam kalangan penduduk di selatan Thai ini ada tiga kategori iaitu yang tidak tahu apa-apa, yang tidak suka terhadap puak pemisah dan yang menyokong puak pemisah. Namun, saya lihat lebih ramai yang tidak tahu dan tidak suka kepada mereka (puak pemisah),” jelasnya.

Selepas ‘meninggalkan’ kumpulan terbabit, Saleh membuat keputusan ‘menyerah diri’ kepada kerajaan Thailand dan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan tanpa melalui apa-apa tekanan atau diseksa.
Pengalaman yang sama diceritakan seorang lagi bekas ahli puak pemisah dikenali sebagai Mat, 34.
Mat menceritakan, dia yang pernah terlibat dalam insiden membakar kereta dan bas membuat keputusan menyertai kumpulan tersebut atas dasar dendam kerana melihat sendiri ramai rakan sekampung meninggal dunia kononnya ‘ditindas’.

Namun, semuanya berubah kira-kira enam tahun lepas selepas Mat melarikan diri ke Malaysia dan tinggal di Johor selama empat tahun secara haram menggunakan laluan tikus.
“Selepas tinggal empat tahun di Johor, saya rasa tak sedap hati memikirkan ibu bapa yang semakin tua. Saya fikir kalau apa-apa jadi kepada mereka di kampung, saya tak sempat nak minta maaf.
“Saya kemudiannya membuat keputusan pulang ke kampung dan tidak membuat apa-apa selama tiga bulan. Saya beritahu mak sama ada mak mahu saya serah diri,” katanya.

Atas dasar sayang kepada ibu bapa, Mat mengambil keputusan menyerah diri dan turut ditempatkan di pusat pemulihan yang sama seperti Saleh.
Menurut Mat, dia cuma berharap rakan-rakan sekampung yang masih ‘setia’ dengan puak pemisah untuk fikir tentang masa depan diri dan keluarga.
“Awalnya memang saya pun skeptikal sebab takut kerajaan akan seksa apabila dihantar ke sini tetapi semuanya berubah sebaik tiba di kawasan ini. Kerajaan Thailand bukan sahaja tidak menipu bahkan memberikan banyak bantuan termasuk elaun.
“Ada juga yang membawa keluarga mereka tinggal di sini. memang tiada tekanan atau seksaan daripada kerajaan. Kita pun boleh keluar masuk dan diberi elaun,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

