BIMBANG melakukan perkara yang menjerumus kepada masalah sosial, penyanyi Alif Satar mendedahkan tidak pernah menghadiri mana-mana parti yang dianjurkan selepas selesai acara persembahan hiburan.
Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar,34, berkata, sepanjang hampir 20 tahun aktif dalam dunia seni, dia akan hadir di majlis hiburan termasuk acara anugerah untuk menjalankan tanggungjawab dan akan pulang ke rumah sebaik semua hal kerja selesai.
“Selepas selesai kerja, saya akan terus balik rumah. Saya tak pernah sertai mana-mana parti selepas selesai acara.
“Daripada umur 16 tahun, saya tak pernah sertai ‘after party’ atau nak lepak di mana-mana ke apa.
“Kalau dulu semasa Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu (AJL) atau apa sahaja, memang saya tak sertai parti…tak akan nampak saya di acara itu.
“Semasa menang tempat ketiga pada AJL 37, tahun lalu pun saya tak sertai. Saya hanya pergi untuk sesi temubual, lepas tu saya balik rumah,” katanya kepada URTV ketika ditemui di majlis berbuka puasa sempena pengumuman perlantikan dirinya sebagai duta GB Gold Malaysia di Forest Valley Hall, Cheras, semalam.
Jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, sebagai anak seni yang sudah lama bergelumang dalam industri kreatif, dia sedar tidak selamanya dirinya akan berada di puncak populariti.
Malah, dia juga percaya apa yang dimiliki ketika ini adalah berkat doa daripada kedua ibu bapa dan isterinya, Sha Dila Halid.
“Saya dah 18 tahun dalam industri, saya tahu betapa senangnya Allah nak tarik nikmat itu kalau saya buat satu perkara yang tak baik.
“Saya percaya ia akan hilang macam itu saja dan saya dah bina benda ni sangat lama. Apa yang orang nampak 2024 mungkin persiapan saya sejak 10 tahun dulu.
“Saya selalu fikir kejayaan ini datang daripada doa mama dan ayah. Saya bersyukur ibu bapa masih ada dan isteri juga sentiasa menyokong.
“Bila saya ada di sini, Alhamdulillah saya tak ‘culture shock’ (kejutan budaya) sebab saya selalu berdoa,” ujarnya.
Pada masa sama, penyanyi yang hits dengan lagu Lelaki Seperti Aku itu tidak pernah meletakkan status dirinya sebagai selebriti.
Namun, Alif yang turut mengukir karier dalam dunia lakonan, menyifatkan seorang ‘public figure’ perlu sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja tindakan yang ingin dilakukan.
“Saya tak pernah rasa diri ini seorang selebriti. Sebab tulah, saya tak pernah segan pergi makan kedai mamak, tak kisah lepak dengan sesiapa atau pergi mana-mana.
“Saya tak pernah rasa macam tu, cuma saya tahu diri saya adalah ‘public figure’ dan tahu apa yang dibuat orang akan tengok, percaya dan dengar.
“Orang juga akan jadikan saya sebagai rujukan, jadi bila pergi mana-mana saya kena tanggungjawab.
“Kadang-kadang kalau pergi tempat macam tak berapa baik saya akan berfikir sama ada ia okay atau tidak.
“Nakkan kepastian, saya akan hubungi ustaz atau mufti tanya pendapat mereka. Disebabkan itulah kena ada individu dijadikan rujukan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Alif menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) sebagai duta kepada GB Gold Malaysia selama 15 bulan bermula bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Shahfizzam Moideen turut mengumumkan penajaan konsert jelajah Alif Satar & The Locos di United Kingdom pada 20 April depan selama 14 hari.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

