PENYANYI terkenal Alif Satar telah bergabung dengan platform penstriman selamat, Durioo+, untuk memperkenalkan lagu animasi berjudul “Al-Fatihah”.
Kolaborasi ini bertujuan untuk mendekatkan kanak-kanak dengan Al-Quran melalui siri animasi teater muzikal Islamik, “Durioo SHOWTIME!”. Melalui pendekatan yang kreatif dan mudah difahami, projek ini diharap dapat membantu kanak-kanak memahami makna surah Al-Fatihah dengan lebih mendalam.
Alif Satar dalam kenyataannya di Instagram menyatakan harapannya agar lagu ini dapat berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran yang berkesan.
“We gotta make a change one step at a time. Ini misi bersama Durioo+. Kita nak bentuk masa depan anak-anak kita. We start with the basic!,” ujarnya melalui kiriman di Instagram.
Pengasas Durioo+, Sinan Ismail, turut menekankan betapa pentingnya inisiatif ini dalam usaha mendekatkan ajaran Islam kepada kanak-kanak.
“Kami di Durioo+ sentiasa mencari cara-cara inovatif untuk mendekatkan kanak-kanak dengan ajaran Islam.
“Lagu ‘Al-Fatihah’ ini adalah pemula. Ia satu usaha murni untuk mengajak kanak-kanak mendalami makna Al-Quran dalam suasana yang menyeronokkan dan mudah difahami.
“Kami percaya kolaborasi dengan Alif Satar ini akan memberikan impak yang positif kepada generasi muda,” katanya.
Melalui platform media sosial, Sinan mengumumkan bahawa Durioo+ akan menggerakkan bengkel dan klinik untuk membantu kanak-kanak dan masyarakat memahami Al-Quran. Inisiatif ini terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi visi yang sama.
Durioo+ dikenali sebagai platform penstriman yang komited menyediakan kandungan berkualiti tinggi yang selamat dan bermanfaat untuk kanak-kanak Muslim. Mereka terus memperluas koleksi dengan program pendidikan dan hiburan yang mendidik. Lagu “Al-Fatihah” akan menjadi sebahagian daripada koleksi eksklusif Durioo+ yang dirancang untuk mendidik kanak-kanak melalui hiburan yang menyeronokkan.
Pelancaran rasmi lagu “Al-Fatihah” dijadualkan pada 19 Jun 2024 di aplikasi Durioo+, dan semua pelanggan boleh mengaksesnya. Para ibu bapa digalakkan untuk memperkenalkan lagu ini kepada anak-anak mereka sebagai alat bantu pembelajaran yang interaktif dan mendidik. Video ‘sneak peek’ dan di belakang tabir juga boleh ditonton di saluran YouTube Durioo+ Malaysia.
Durioo+ adalah platform penstriman selamat yang direka khas untuk kanak-kanak Muslim. Dilancarkan pada Februari 2022 dengan sokongan daripada Y Combinator W22 dari Silicon Valley, Durioo+ menawarkan lebih daripada 9000 video yang merangkumi genre animasi, dokumentari, dan banyak lagi.
Pelanggan Durioo+ juga boleh menonton video baru setiap minggu. Durioo+ komited dalam melindungi generasi kanak-kanak daripada kandungan yang tidak sesuai dan ingin menyumbang kepada pembentukan nilai-nilai Islam di jiwa anak-anak sejak kecil.

