AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib dilaporkan terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang, semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Abdul Razak, Alwiyah menerima 19 jahitan selepas mengalami kecederaan di dagu dan mulut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 28, Jalan Kota Tinggi-Mersing itu.
Beliau berkata, kejadian itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena yang dinaiki Alwiyah bersama enam ahli keluarganya.
“Kenderaan yang dipandu suami Alwiyah dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing dipercayai telah hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum terbabas ke tepi jalan.
“Akibat kemalangan berkenaan, Alwiyah mengalami kecederaan di dagu dan mulut menerima 19 jahitan selepas membuat rawatan di Hospital Mersing. Mangsa yang lain tidak cedera,” katanya.
Baca artikel lain: Dua pelajar Malaysia maut kemalangan di Lake Tekapo, New Zealand – Wisma Putra
Mengulas lanjut, Abdul Razak memaklumkan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pejabat ADUN Endau memaklumkan Alwiyah diberikan cuti sakit selama sembilan hari akibat kecederaan itu.
Jelasnya, beliau telah menerima 13 jahitan dalam mulut dan enam lagi di bahagian dagu.
“Yang Berhormat (YB) Alwiyah diberikan cuti sakit selama sembilan hari bermula semalam sehingga Selasa depan.
“Sehubungan itu, segala jemputan dan program yang telah diatur awal dalam jadual tidak dapat dihadiri,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Alwiyah berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dalam pertembungan lima penjuru.
Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 8,433 undi meninggalkan calon terdekat Mohd Youzaimi Yusof dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,041 undi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Alwiyah diangkat menjadi ADUN Endau atas tiket BN sebelum meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

