PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rumah terbuka sempena menyambut Aidilfitri akan dianjurkan di Seri Perdana tahun ini.
Ia merupakan tahun kedua Perdana Menteri membuat keputusan itu sejak mula memegang jawatan tersebut pada November 2022.
Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan akan hadir pada majlis sambutan dianjurkan di peringkat negeri dan kementerian.
“Untuk sambutan Aidilfitri, saya tak akan buat majlis (secara) besar-besaran di Seri Perdana (tetapi) saya akan ikut serta beberapa sambutan yang dibuat di negeri dan kementerian.
“(Justeru), ia tidak akan menokok belanja kalau dibuat besar-besaran di Seri Perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.
Baca artikel lain: Pelaburan direalisasi di ECERDC cecah RM41.4 bilion sehingga Mac – PM
Tahun lalu, Anwar turut mengumumkan tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri di Seri Perdana tetapi hadir di Majlis Rumah Aidilfitri anjuran agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mendekati lebih ramai rakyat.
Perdana Menteri turut mengingatkan kementerian dan agensi kerajaan melaksanakan sambutan Aidilfitri dengan sederhana serta munasabah.
Pada masa sama, beliau berharap supaya badan-badan kerajaan tidak ‘bersaing’ untuk menunjukkan sambutan lebih mewah dan meriah antara satu sama lain.
“Kita kata kerajaan harus cermat berbelanja termasuk agensi-agensi. Sambutlah Aidilfitri dengan munasabah. Saya nak pastikan Perbendaharaan dan syarikat-syarikat kerajaan, tunjuklah contoh.
“Jangan bersaing siapa lebih megah dan gagah. Bukan wang kamu pun.
“Kadang-kadang kita lupa. (Contohnya) saya PM (Perdana Menteri), apa salahnya (berbelanja) tapi saya fikir bukan wang peribadi saya. Apa erti saya tak ambil gaji tapi saya belanja boros wang kerajaan. Tak ada makna,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

