HARGA tiket penerbangan yang sangat mahal dan tidak masuk akal untuk pulang berhari raya di Sabah membuatkan penyanyi Wani Kayrie rasa simpati kepada golongan kurang berkemampuan.
Wani atau Syazwani Abdullah,24,berkata, dia turut pernah berada di situasi itu apabila tidak berpeluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah nenek dan datuknya di Sandakan, Sabah disebabkan kekangan masa.
“Sebenarnya saya tumpang simpati juga sebab saya pernah berada di situasi mereka di mana mak saya sibuk bekerja, tak dapat nak balik kampung jumpa mak dia (nenek) masa raya.
“Itu yang membuatkan saya sedih. Jadinya, saya tekad bekerja keras sekurang-kurangnya saya nak balas balik jasa dengan cara bawa ibu balik kampung gembirakan keluarga.
“Bila melihat orang lain sedih tak dapat balik tu agak kesian juga tapi orang kata itu nasib mereka dan saya dah pernah berada di situ mungkin rezeki mereka akan datang kemudian harinya,” katanya kepada URTV ketika ditemui selepas pelancaran single Balik Raya bersama Nadeera Zaini dan Indah Ruhaila, baru-baru ini.
Pada masa sama, Wani tidak menafikan harga tiket penerbangan sangat mahal biarpun telah menempah setahun lebih awal.
“Saya berbelanja sekitar empat angka untuk bawa semua ahli keluarga saya seramai empat orang untuk pulang ke Sabah. Harga tersebut untuk penerbangan pergi dan balik.
“Setiap tahun sebenarnya kalau saya ada rezeki lebih, saya akan belanja keluarga untuk bawa mereka pulang ke kampung walaupun tiket mahal.
“Walaupun saya dah tempah tiket awal, sehingga kini harga masih lagi mahal. Tiket yang saya beli itu pula tidak termasuk dengan bagasi.
“Tapi, tak mengapalah. Orang kata untuk raya kita kena keluarkan sedikit belanja jugalah. Macam saya balik kampung setahun sekali, jadi saya rasa rugi kalau tak berhabis-habisan,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

