PENYANYI terkenal, Shila Amzah berdepan situasi cemas apabila pemandu lori bertindak cuai semasa dalam perjalanan ke arah selatan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, menerusi ciapannya di akaun X (Twitter) mengatakan terdapat sebuah lori yang menghampiri keretanya itu sehinggakan hampir melanggar bahagian kereta.
Tambahan itu, pelantun lagu Tiada Dirimu ini juga menjelaskan bahawa pemanduan lori itu juga melebihi had kelajuan sepatutnya serta memotong keretanya tanpa memberi signal lampu isyarat.
“Lori ini sangat hampir langgar kereta saya di Lebuhraya PLUS menghala ke selatan.
“Dia bawa laju sangat, kita berada di ‘lane’ kanan, dia boleh potong terus kereta saya tanpa signal dengan bahaya,” ujarnya.
Susulan dari insiden itu, Shila telah membuat aduan terus dengan menghubungi pihak Agensi Pengangkutan Awan dan Darat (APAD) untuk tindakan lanjut.
“Baru lepas hubungi talian SPAD tadi untuk buat aduan,”ujarnya lagi.
Kini, Shila dalam tempoh sarat mengandung bagi melahirkan anak sulungnya itu hasil ikatan rumah tangga kedua bersama Ubai Mz.
Sebelum ini, dia pernah berkhawin bersama Haris Idraki Elias dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais berusia lima tahun, namun telah bercerai pada Februari 2022.

