ISTERI pertama Ahmad Aslam iaitu Misya Mazlan menjelaskan bahawa dia masih miliki ikatan sah bersama suaminya meskipun sudah mempunyai madu, Marissa Dania.
Baru-baru ini, Misya atau nama lengkapnya Umisya Mazlan, 25, telah membuat hantaran foto kemesraannya bersama Aslam menyambut Aidilfitri menerusi Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian tersebut, Misya berkata dirinya jarang mendedahkan kehidupan peribadi atas sebab tertentu.
Malah, dia turut menegaskan perkara tersebut terjadi bukan disebabkan oleh persaingan atau rasa sifat cemburu.
“Yang bertanya, ya. Kami masih bersama, Misya tak suka expose atas sebab tertentu.
“Bukan sebab persaingan, cemburu dan lain-lain,” ujarnya
Namun begitu, dia juga menjelaskan bahawa perkongsian dilakukan hanya sebagai kenangan serta mengelakkan dirinya dari terus difitnah.
“Untuk kenangan dan mengelak fitnah, hari ini Misya hantar gambar beraya bersama yang diambil masa hari raya pertama,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dia turut memberi gambaran bahawa tidak memilih untuk saling berbalah malah ingin menjadi seorang wanita yang lebih bijak.
“Wanita yang bijak akan memilih menghentikan perbalahan kerana Allah, dengan individu yang jelas tidak mahu memahami dan mendengar. Tiada kebencian, ya,” jelasnya.
Sebelum ini, isteri kedua Aslam iaitu Marissa Dania Hakim telah membawa suaminya bertemu kedua ibu bapanya menghadiri majlis rumah terbuka keluarga.
Perkara ini diketahui apabila Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 47, yang juga merupakan ibu kandung Marissa telah berkongsi video menunjukkan mereka saling berpelukan serta merasakan Aidilfitri telah memberi ruang bagi dirinya sekeluarga memperbaiki hubungan dan kesilapan.

