PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor telah menubuhkan 12 portfolio bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan.
Perkara itu disepakati dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, malam semalam.
Mohamed Azmin dalam hantaran di Facebook memberitahu, mesyuarat khas bersama-sama ahli-ahli DUN Bersatu di Selangor itu membincangkan tentang persiapan jentera untuk menghadapi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Menurut beliau, 12 portfolio yang dibentuk itu termasuk kerahan anak muda dan pengundi bukan Melayu bagi memperkemaskan jentera pilihan raya.
“Saya membentangkan perincian data dan statistik bagi setiap 16 daerah mengundi serta prestasi undi awal.
“Semua Bahagian Bersatu dan ahli-ahli Parlimen serta ADUN dipertanggungjawabkan untuk menjaga 16 daerah mengundi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin memaklumkan, mesyuarat berkenaan turut membincangkan strategi pintar dan berinovasi bagi melonjakkan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN).
Baca artikel lain: PRK DUN Kuala Kubu Bharu: UMNO boleh bantu DAP menang jika letak calon Melayu
Beliau berkata, bahan cetakan termasuk risalah sudah disediakan untuk mengupas isu-isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Malah, katanya, logistik dan bahan kempen seperti bendera dan gegantung juga akan tiba di lapangan minggu ini.
“Badan Pimpinan Negeri Selangor juga bersetuju membentuk jawatankuasa khas bagi menarik sokongan pengundi-pengundi India dan Orang Asli.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian, Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu yang cukup bersemangat untuk menggarap seluruh kekuatan tenaga dan pemikiran bagi membina kekuatan jentera PN di KKB (Kuala Kubu Baharu),” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada hari Sabtu, 11 Mei depan dengan tarikh penamaan calon dilangsungkan pada 27 April manakala pengundian awal pada Selasa, 7 Mei.
PRK itu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
Jasad mendiang telah selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Crematorium Shah Alam, Seksyen 21.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

