Ceburi kerjaya guru, peluang terbuka luas

Dari Penulis

PERMOHONAN 6,394 orang guru atau 1.49 peratus daripada keseluruhan populasi guru di negara ini untuk bersara awal sepanjang tahun lalu diluluskan. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, jumlah ini meningkat berbanding 5,306 orang atau 1.23 peratus pada tahun sebelumnya.

Angka ini menunjukkan trend peningkatan ketara guru yang mahu bersara secara pilihan. Tidak mustahil angka ini meningkat pada tahun ini, mewujudkan lompang yang agak besar dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan mengumukan penempatan 6,034 orang guru kontrak baharu di seluruh negara berkuatkuasa 15 April 2024. Ini sebagai usaha segera mengatasi keperluan guru di sekolah menengah dan rendah yang terjejas dengan masalah kekurangan guru.

Guru kontrak biasanya dilantik di kalangan para siswazah yang memilik ijazah pertama tetapi tidak memiliki Diploma Pendidikan. Suatu ketika dahulu ada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tetapi kini sudah dimansuhkan.

Diploma Pendidikan merupakan pra-syarat untuk guru kontrak diserap ke jawatan tetap. Oleh itu yang berminat berkhidmat sebagai guru tetap boleh memohon kepada pihak kementerian untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau institusi pengajian tinggi yang diluluskan oleh kementerian.

Penulis tidak berhasrat membincangkan isu kenapa ramai guru bersara awal memandangkan ia sudah kerap dibincangkan sebelum ini. Bagi penulis tentu ada pelbagai sebab, baik sebab peribadi, mahu berehat, atau mahu menceburi bidang lain.

Sekali pun bermakna pihak kementerian akan kehilangan guru berpengalaman yang setia menabur bakti selama ini, hasrat mereka perlu dihormati. Yang pasti pengunduran mereka membuka peluang kepada calon lain untuk memenuhi kekosongan yang ditinggalkan.

Kerajaan kini membuka peluang lebih luas kepada calon guru dengan melebarkan lagi syarat kemasukan. Sebelum ini peluang hanya ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Calon perlu memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM untuk terpilih mengikuti kursus selama lima tahun di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara. Mereka yang berjaya menamatkan pengajian akan memperoleh ijazah perguruan dan seterusnya diserapkan sebagai tenaga pengajar.

Peluang kini bukan sahaja terhad kepada lulusan SPM, tetapi juga lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan lulusan program matrikulasi institusi pengajian tinggi atau Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Memetik Kementerian Pendidikan, pelebaran peluang yang pertama kali dilakukan ini untuk memberi peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru memohon mengikuti program berkenaan.

Selain itu ia bertujuan memastikan lebih ramai calon memohon dan dengan itu pihak kementerian mempunyai lebih ramai calon untuk dinilai. Hanya yang didapati benar-benar berminat dan cemerlang sewaktu proses pemilihan akan diterima.

Langkah ini menyerlahkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan menangani isu kekurangan guru dan pada masa sama memilih calon guru terbaik yang diharap akan dapat menyumbang ke arah pencapaian matlamat agenda reformasi pendidikan negara.

Calon yang terpilih akan menjalani latihan di IPG dalam pelbagai bidang pengkhususan, bersuaian dengan kelayakan calon juga keperluan subjek, terutama dalam subjek yang masih kekurangan guru. Kursus ini mengambil masa empat tahun.

Usaha Kementerian Pendidikan perlu dilihat sebagai langkah proaktif untuk tidak membiarkan masalah kekurangan guru terus menjadi lompang yang membantutkan usaha mewujudkan sistem pelajaran dan pembelajaran terbaik, serta menghasilkan pelajar cemerlang.

Tentu sedikit sebanyak akan timbul persoalan tidakkah pengambilan lebih ramai calon guru akan menyebabkan berlakunya lambakan. Malah ada yang mempertikai samaada mereka yang lulus pengajian nanti pasti beroleh kerja dan tidak menganggur.

Rasanya pada peringkat ini tidak harus ditimbulkan keraguan mengenai penyerapan tenaga kerja selepas tamat pengajian. Pihak kementerian tentunya telah membuat unjuran mengenai keperluan guru, serta mengambil kira jumlah yang bersara setiap tahun.

Tambahan lagi, seperti dinyatakan, pengambilan dibuat berdasar pemilihan teliti serta sangat selektif. Bukan semua calon STPM, STAM dan matrikulasi akan diambil. Juga tentu pengambilan berdasar keperluan. Proses pengambilan, dan jumlah calon diambil, pasti akan sentiasa diubah suai sejajar keperluan.

Bagi penulis, peluang yang terhidang disajikan oleh Kementerian Pendidikan ini perlu direbut oleh calon yang layak dan berminat, terutama yang sejak sekian lama menanam cita-cita untuk jadi pendidik tetapi belum dapat peluang.

Justeru ambil peluang yang ada di hadapan mata. Penuhi aspirasi menabur bakti kepada anak bangsa dan negara. Kerjaya guru tidak harus dilihat hanya sebagai kerjaya semata-mata, tetapi juga pengorbanan murni membentuk pelajar menjadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kewujudan Parti Wawasan Negara, apa nasib Bersatu dalam PN?

ARENA politik negara tidak pernah sunyi dengan pelbagai jenis drama tidak kira di pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Pergolakan yang...

More Articles Like This