FUNGSI Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disifatkan berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara iaitu berperanan memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah.
Ia susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail bahawa Kementerian Perpaduan Negara berhak mendapat peruntukan yang sama atau lebih besar daripada yang diberikan kepada Jakim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata, kenyataan Tawfik yang secara tidak langsung menyentuh tentang peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam termasuk Jakim itu bersifat cadangan semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, Kementerian Perpaduan Negara mempunyai misi meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat.
Beliau menjelaskan, peruntukan keseluruhan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam adalah sebanyak RM1.9 bilion untuk tahun 2024.
Baca artikel lain: Logo mirip kalimah: Vern’s beri keterangan kepada Jakim
“Peruntukan tersebut melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
“Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Secara amnya, Mohd Na’im memberitahu, Jakim telah diperuntukkan sebanyak RM730 juta kepada guru kelas agama Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan imam yang dilantik di seluruh negara yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.
“Bagi pengoperasian semasa Jakim pula, sebanyak RM249 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.
“Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz,” katanya.
Bagi lain-lain agensi di bawah Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, jabatan ini diberi peruntukan sebanyak RM374 juta bertujuan memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.
“Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan.
“Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia,” katanya.
Tambah Mohd Na’im, peruntukan yang telah diberikan kepada jabatan itu adalah bermatlamatkan untuk membangun Malaysia Madani yang menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi sekali gus memberikan manfaat kepada negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

