PEMPENGARUH terkenal Indonesia, Atta Halilintar memilih kualiti karya yang menarik berbanding jumlah pengikut untuk berkolaborasi bersamanya.
Menurut Atta atau nama lengkapnya Muhammad Attamimi Halilintar, 29, kerjasama dengan Kidd Santhe dan Saixse bagi pelancaran lagu Mantap Cuy merupakan sesuatu perkara yang tidak terduga.
“Memang Tuhan sudah atur perkara ini menjadi karya yang cantik dan bagus. Sewaktu saya tengok pun memang tergerak hati nak buat sesuatu dengan anak-anak muda yang kreatif dari Malaysia dan Indonesia.
“Saya pun bukanlah seseorang yang akan melihat pada pengikutnya tapi lebih kepada makna terhadap projek yang ingin dilakukan. Jadi kalau maksudnya bagus saya tidak pernah kisah pasal pengikut atau sebagainya.
“Kerana saya punya prinsip, kalau kita sering baik hati, buat baik pada orang, Insya-Allah, Tuhan akan buat baik sama kita.
“Semoga karya ini menjadi terbaik buat Malaysia dan Indonesia,” ujarnya ketika sidang media Mantap Chuy di Petaling Jaya,Selangor, baru-baru ini.

Selain itu, Atta turut berkongsi bahawa hampir sedekad telah menghasilkan lagu bergenre rap ini serta kebanyakkan yang dilakukan atas dasar minat dan hobi.
Baginya, industri muzik rap di Malaysia jauh lebih membangun berbanding di negara kelahirannya namun perkara ini bukan satu penghalang untuk memperjuangkannya.
“Sudah hampir 10 tahun bikin lagu rap di Indonesia tapi saya banyak dapat respon dan mesej langsung (DM) dari pengikut Malaysia jadi memang senanglah sebab itu salah satu hobi saya.
“Kalau di Indonesia, rap tu hanya sebagai hobi saya, tapi dalam industri saya rasa Indonesia rap membangun tetapi di Malaysia ia lebih membangun. Jadi disana ada pelbagai genre perlu lebih berjuang,” ujarnya.
Sokong anak sambung legasi seni
Dalam pada itu, Atta turut mengulas lanjut mengenai anak perempuannya, Ameena Hanna Nur Atta, yang kini berusia dua tahun, selesa berhadapan dengan kamera kerana kebanyakan ahli keluarganya terkenal sebagai pempengaruh.
Tambahnya lagi, dia tidak kisah sekiranya Ameena memilih untuk menjadi penghasil kandungan (content creator) agar dia boleh meneruskan legasinya dalam industri ini.

“Kerana keluarga kami kebanyakkannya pempengaruh, jadi dia (Ameena) banyak terakam dalam gambar. Kalau dulu orang tanya keadaan saya tapi kini ramai tanya tentang Ameena.
“Jadi Ameena punya aura sendiri, di Indonesia pun dia merupakan bayi yang terkenal, ramai mendoakannya.
“Mungkin dia suka bicara depan kamera dan belajar, walaupun saya tak percaya dengan dna, bagi saya dia melihat, kalau ibu bapanya menyanyi dia akan menyanyi, kalau berlakon dia turut ikut.
“Saya tidak kisah kalau Ameena nak jadi ‘content creator’, sebab kena ada yang mewarisi legasi tersebut,” ujarnya lagi.
Kini, Atta, bersama Kidd Santhe dan Saixse, telah melancarkan lagu rap berjudul Mantap Cuy yang boleh didapati di semua platform strim digital utama bermula 26 April yang lalu.
Dalam masa sama, video muzik pula sudah mula ditayangkan menerusi saluran YouTube Kidd Santhe.
Untuk rekod, Atta telah mendirikan rumah tangga bersama Aurel Hermansyah pada 3 April 2021.
Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan bernama Ameena Hanna dan Azura Humaira.

