PENGARAH filem, Ahmad Idham berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memilih bulu terhadap pengkarya yang ingin mengetengahkan isu dalaman kepolisan.
Mengulas berkenaan filem Sheriff: Narko Integriti, Ahmad Idham atau nama lengkapnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 50, berkata, perkara ini perlu dilakukan secara konsisten agar tindakan tersebut tidak mencalarkan industri filem tanah air.
Malah dia turut meluahkan kegembiraan kerana kini sikap keterbukaan mula dipamerkan oleh pihak PDRM bagi menyuntik elemen realistik menerusi perfileman.
“Kalau nak filem cerita polis kena dapatkan kelulusan pegawai perhubungan awam (PRO) dia. Jadi kalau sudah ditayang bermakna sudah lalu semua proses.
“Saya gembira bila perkara ini terbuka cuma saya harap perkara ni konsisten jangan pula pilih bulu. Jangan seorang (pengarah) dapat yang lain mereka (PDRM) tutup pula.
“Jadi konsistensi kalau tak berlaku akan rosakkkan industri kita. Sebab orang suka tengok benda realistik, sama ada berlaku atau tidak.
“Tapi kalau orang boleh rasa perkara itu benar-benar berlaku, bagi filem ianya bagus kerana ia berjaya bawa orang ramai ke pawagam,” ujarnya ketika majlis Jamuan Hari Raya Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Komisioner Jeneral Penjara, KJP Datuk Nordin Muhammad, diikuti dengan Timbalan Ketua Polis Selangor 2024, Datuk S. Sasikala Devi serta Pengerusi Yayasan Koreksional Malaysia, Inspektor Shishweewady Razali.

Walaupun begitu, dia turut meluahkan rasa kecewa serta berkongsi detik yang perlu dilalui apabila pada era pembikinan filemnya pelbagai prosedur ketat telah wujud sehingga membuatkan dirinya mengelak untuk menerbitkan karya berasaskan kepolisan.
“Apa yang berlaku kepada Sheriff sudah terbuka, saya sebenarnya dalam gembira ada kecewanya juga sebab zaman saya dulu tidak boleh.
“Dulu macam-macam tak boleh, tembak polis pun tak boleh, uniform polis pun tak dapat. Tiba-tiba sekarang semua ni dapat.
“Saya dulu sampai kena reka polis ni. Punya lah tak boleh, nak cakap polis jahat tak boleh. Kalau isu kena tembak polis pun tak boleh.
“Sebab tu saya tak berminat nak keluarkan cerita polis sebab saya rasa tak realistik pada era saya,” katanya kepada URTV.
Dedah sisi sebenar kehidupan penjara
Dalam masa sama, pengarah Anak Perjanjian Syaitan 2 ini turut mendedahkan bahawa akan melancarkan telefilem tebaharu berkonsepkan penjara yang diinspirasikan daripada kisah sebenar.
Ujar Ahmad Idham, perkara ini merupakan peluang baginya kerana isu berkaitan penjara kurang ditayangkan di stesen televisyen.
Malah, dia turut merasakan topik tersebut sangat unik kerana mengetengahkan kisah hidup seorang banduan serta warden penjara yang menjaga mereka sepanjang menjalani hukuman di penjara.
“Kalau drama ni kita bergantung kepada stesen televisyen, kalau kita tengok dulu cerita-cerita penjara paling banyak penerimaan semua, cuma lepas tu cerita-cerita pasal penjara kurang.
“Jadi bila dapat peluang kita ambillah, sebab bagi saya cerita pasal penjara banyak kisah hidup yang menarik.
“Kebanyakkannya akan berkait apa yang pernah berlaku. Perkara ini inspirasi dari cerita benar tapi tak akan dedahkan perkara ni secara terangan. Perkara ni baru unik.
“Kalau perasan ramai polis akan cari seorang penjenayah sahaja tetapi di penjara mereka akan jaga ramai penjenayah.
“Jadi, kadang-kadang orang tak perasan bahawa peranan warden penjara akan dibawa sampai keluar. Sebab orang tu akan keluar, hari-hari menghadap mereka. Kalau polis, belum tentu dia ingat orang tu,” katanya.
Tambahan itu, dia turut berkongsi bahawa penceritaan ini juga akan mengangkat kisah seorang banduan wanita yang melahirkan anak dalam penjara di mana pada akhirnya anak tersebut akan dijaga oleh seorang warden penjara.
Walau bagaimanapun, dia berkata isu ini akan menjadi konflik apabila terdapat sentimen negatif daripada masyarakat terhadap penerimaan anak banduan dalam menjalani kehidupan normal.
“Sebab nak jaga anak banduan ni sentimen masyarakat kadang menjadi penghalang pada akhirnya dibawa ke Jabatan Kemajikan Masyarakat.
“Jadi ini adalah perkara yang ingin diketengahkan bahawa budak tu tak bersalah pun, kalau nak jaga dia kena ada perasaan berperikamuniasaan bukan kerana anak kepada banduan,” jelasnya.

