“Haram! Haram! Haram!” Terkejut Salmi tatkala dijerkah oleh wanita Arab saat dirinya sedang leka merakam gambar ketika program ziarah di Bukit Uhud. Namun jerkahan wanita Arab itu tidak dihiraukan olehnya kerana dia juga tahu, ada pelbagai pandangan mengenainya.
Dengan menggunakan kamkorder miliknya, Salmi terus merakamkan tempat-tempat penting tersebut dengan harapan apabila pulang ke tanah air, boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sekurang-kurangnya, bertambah minat anak-anak terhadap subjek sirah yang diajar di sekolah.
Sangkaan Salmi meleset. Perempuan Arab itu tidak berpuas hati apabila Salmi tidak mengendahkannya. Lalu dia berkejar mendapatkan Salmi dan memaksa Salmi memadam rakaman yang dibuat.
Namun Salmi berkeras dan mengambil jalan tengah dengan mengemukakan alasan bahawa terdapat pelbagai pandangan mengenainya. Lantaran kekecohan tersebut, mutawif bertugas mendapatkan Salmi dan wanita Arab tersebut.
Setelah diterangkan dengan jelas, maka wanita Arab itu mula memahaminya dan melepaskan Salmi beredar.
“Selamat gambar aku,” getus Salmi dalam hati sambil mengucapkan terima kasih kepada mutawif berkenaan. Dan kepada perempuan Arab tersebut Salmi menghulur tangan memohon maaf kerana percanggahan pandangan tersebut.
Sambil berlalu, hati kecil Salmi bertanya-tanya, “Haramkah mengambil dan merakamkan gambar?”. Jika haram sudah tentu, menonton TV juga haram, kerana rancangan TV itu saduran dari rakaman kamera juga. Persoalan ini bermain-main dalam minda Salmi.
Harus hukumnya
Sebenarnya hukum mengambil gambar adalah harus, dan ia disepakati oleh ulama kontemporari termasuk Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi. Namun begitu hukumnya tertakluk kepada beberapa keadaan.
Merakam gambar merupakan isu baru dalam kalangan masyarakat. Ia tidak pernah wujud sama ada di zaman Rasulullah s.a.w, sahabat ataupun ulama-ulama salaf. Hanya yang menjadi perbincangan, adalah hukum melukis gambar dan membuat patung.
Jika merujuk kepada ulama mutaakhirin, memang terdapat perselisihan pendapat di kalangan mereka dalam menjelaskan hukum mengambil gambar. Akan tetapi kebanyakan ulama yang masyhur seperti al-Syeikh Muhammad Ali al-Sayis mengatakan, gambar fotografi tidak termasuk dalam kategori gambar yang dilarang, kerana ia tidak ubah seperti imej yang terpantul pada cermin.
Pendapat ini turut disokong oleh al-Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi. Beliau berdalilkan kepada pandangan bekas Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit dalam karyanya “al-Jawaabul Kaafi fi Ibahaatit tasywiiril futughrafi” yang menyatakan, gambar fotografi merupakan penahanan bayang dengan suatu alat, yang telah dikenali oleh juru teknik yang mahir tentang gambar. Dan teknik ini sedikit pun tidak dilarang.
Larangan membuat gambar hanya ditujukan kepada gambar yang belum pernah ada, dan belum dibuat sebelumnya, yang boleh menandingi ciptaan Allah. Pengertian ini tidak terdapat pada gambar yang diambil, dengan menggunakan alat seperti kamera.
Hakikatnya, banyak tujuan merakam gambar, sama ada sebagai kenangan, berdakwah, menyampaikan maklumat dan pelbagai lagi dengan tujuan yang baik. Dan ke semua tujuan ini menjadi harus hukumnya.
Mengambil gambar pemandangan misalnya, adalah sesuatu yang digalakkan kerana ia bukan sahaja dapat menunjukkan betapa indah dan agungnya ciptaan Allah bahkan ia menambahkan lagi keimanan kita kepadaNya.
Haram hukumnya
Namun hukum mengambil gambar boleh menjadi haram sekiranya gambar yang diambil bertujuan untuk maksiat, mengandungi perkara-perkara syubhah, merosakkan akidah dan untuk tujuan yang buruk atau aib.
Sememangnya kita maklum, dengan kemudahan teknologi jalur lebar, tanpa batasan kini, ramai di kalangan masyarakat yang suka meletakkan dan memuat naik gambar-gambar hasil rakaman mereka di Internet, untuk dikongsi dengan rakan-rakan.
Ditambah lagi, dengan adanya Facebook dan blog, semakin ramai yang ingin berkongsi detik-detik kenangan bersama orang tersayang untuk dikomen. Justeru, menjadi pengharaman di sini, apabila gambar yang dimuat naik itu, mempunyai unsur-unsur maksiat, seperti pendedahan aurat, bersentuhan lelaki dan wanita yang bukan mahram, perlakuan yang tidak senonoh dan banyak lagi.
Adapun jika kita melayari internet kini, memang terdapat banyak laman web yang memuat naik gambar-gambar yang pelbagai, bertujuan memberi pendedahan dan maklumat. Namun, ia menjadi haram jika gambar tersebut secara jelas menunjukkan aib seseorang, menimbulkan fitnah atau hingga boleh menjatuhkan air muka. Sabda Baginda s.a.w,
“Sesiapa yang mencari-cari kesalahan saudaranya, nescaya Allah akan membuka rahsianya pula.” (HR Baihaqi dan Ahmad).
Kata orang, hanya sekeping gambar boleh menghasilkan seribu cerita. Sekeping gambar juga boleh berkongsi rasa suka dan duka. Ironinya, gambar menzahirkan pelbagai cabang peristiwa.
Oleh demikian, dalam isu mengambil gambar ia perlulah dipastikan apakah niat kita, sama ada untuk tujuan yang baik atau tidak. Dan jika gambar yang diambil memaparkan aib atau aurat seseorang, perlulah dipadamkan dan tidak ditayangkan kepada umum. Wallahu a’lam
_____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

