Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

DUA lelaki warga tempatan ditahan selepas cuba menceroboh Istana Negara, Kuala Lumpur dengan alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, dua lelaki yang ditahan kerana cuba menceroboh Istana Negara itu masing-masing berusia 29 dan 37 tahun.

Menurut Rusdi, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang apabila sebuah kereta jenis Perodua Kembara telah ditahan selepas cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menjumpai sebilah parang.

“Susulan pemeriksaan itu, polis telah bertindak menahan dua lelaki tersebut dengan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati negatif dadah.

Baca artikel lain: Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek dan dua pelajar ditahan

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi memberitahu, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram