MADRASAH Luqmanul Hakim terletak di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram yang sebelum ini dipercayai menjadi ‘markas’ penyebaran fahaman ekstremisme mungkin akan dirobohkan atas faktor keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan polis akan memperhalusi perkara tersebut.
Menurut beliau, pertimbangan itu mengambil kira sebab-sebab keselamatan termasuk kebimbangan masyarakat kerana tempat itu digunakan pihak atau kumpulan tidak bertanggungjawab.
“Saya menerima aduan masyarakat setempat yang mendakwa madrasah itu dijadikan pusat pengajaran sebuah pertubuhan keganasan masih digunakan, ini disuarakan sejak peristiwa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melihat kepada keperluan aspek kacau- ganggu yang berlaku, boleh menyebabkan kerajaan menggunakan kuasa-kuasa tertentu bagi maksud pemulihan kacau- ganggu itu.
“Saya kira kerajaan boleh mengambil tindakan ke tahap itu, ia adalah solusi terakhir,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Baca artikel lain: Jenazah penyerang Balai Polis Ulu Tiram dikebumi berasingan sebagai peringatan, dua anggota polis syahid akhirat
Mengulas lanjut, Mohd Fared memberitahu Madrasah Luqmanul Hakim itu telah pun ditutup sejak 2001 dengan siasatan pihak MAINJ serta polis mengesahkan madrasah itu tidak lagi beroperasi.
“Sejak madrasah tersebut ditutup lebih 20 tahun lalu, pihak MAINJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat tersebut.
“Hasil semakan, kita boleh mengisytiharkan bangunan tersebut tidak lagi ada kegiatan,” katanya.
Jumaat lalu, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi.
Suspek berusia 21 tahun itu turut maut dari serangan terhadap balai polis itu manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd. Hasif Roslan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah alami kecederaan parah.
Keadaan Mohd Hasif kini kembali stabil dan telah dipindahkan dari wad unit rawatan rapi (ICU) kepada wad biasa.
Madrasah Luqmanul Hakim itu terletak di tanah persendirian berhampiran dengan kediaman keluarga suspek.
Madrasah itu difahamkan menjadi lokasi berkumpul bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI), Nasir Abbas dan Noordin Mat Top iaitu ketua kumpulan serpihan radikal dikenali Tandzim Al-Qoidah Indonesia yang maut dalam operasi pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah pada 17 September 2009.
Madrasah di tepi jalan terletak kira-kira 19 kilometer dari bandaraya Johor Bahru.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

