
SAYA mengikuti perkembangan krisis ini secara dekat sejak lima minggu kebelakangan ini, bermula dari tarikh Menteri Kesihatan membuat kenyataan media mengenai kemelut ini.
Kami di Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mengulas kenyataan beliau itu.
Beberapa hari lepas bekas Menteri Kesihatan juga telah memberikan komen keras dan pedas mengenainya.
Rumusannya, apa yang kami amati daripada kemelut ini ialah betapa kian merosotnya keupayaan kita rakyat Malaysia, dalam mengurus krisis.
Krisis Laluan Selari (Parallel Pathway) ini tidaklah kompleks mana pun. Namun, peranan yang dimainkan kumpulan si kitol, yang saya dapat rasakan, ramai di antaranya dalam kalangan anak bangsa saya sendiri, adalah sangat bahaya.
Salah-salah hemat, kelicikan mereka ini lebih bahaya berbanding si kitol yang berjaya menjatuhkan kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu.
Pandangan saya ini ditujukan kepada anak bangsa saya sendiri. Andai kata sindrom kemerosotan keupayaan mengurus krisis ini tidak segera ditangani dengan bijaksana, cerdik mana sekalipun kita, sejarah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka akan berulang.
Pada hemat saya, usaha dua duta asing itu cuba mempengaruhi Menteri Kesihatan sekadar mencuba nasib, manalah tahu kerajaan akan terpengaruh dengan desakan mereka. Kebijaksanaan mereka ialah dalam cara bagaimana menunggang si kitol untuk dikudakan. Mereka berjaya, lantas tersenyum seraya berkata, ‘semakin tidak bijaksana rupanya bangsa ini dalam mengurus krisis sekecil itu’.
Penyudahnya: Pelatih pakar bedah kardiotorasik yang menjadi mangsa, terus terjerat dalam kemelut ini. Kepakaran mereka masih tidak diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Mereka melenting dan menyalahkan pihak MMC, walhal MMC bertindak mempertahankan undang-undang negara.
Baca artikel lain: KKM, KPT akan rungkai segala permasalahan program Parallel Pathway – MustaphaÂ
Kolej swasta yang di depan dua institusi asing itu kekal tegar, enggan program kendaliannya diakreditasi. Mereka tidak peduli nasib menimpa pelatih di bawah kelolaannya.
Anehnya, tiada siapa pun menyalahkan mereka dalam kemelut ini. Bijak sungguh mereka menggunakan si kitol untuk mengalih perhatian awam daripada menuding jari kepadanya, sebagai penyebab kepada krisis kecil ini.
Bagi mengambil hati dua duta asing itu, Menteri Kesihatan memilih bersikap ‘kera di hutan disusukan’, berjanji kononnya ia mempunyai kuasa eksekutif untuk meminda akta, dalam sekelip mata, bagi menghalalkan Laluan Selari yang kini masih haram.
Walhal, beliau mengerti proses pindaan sesuatu akta memakan masa, mungkin bertahun-tahun. Beliau lupa krisis depan matanya perlu segera ditangani.
Tak semena-mena UiTM diheret, dijadikan sasaran untuk mengeruhkan keadaan, sedangkan syor mereka sekadar memberikan opsyen bagi menyelesaikan kemelut ini.
Hatta, kemelut yang pada mulanya kecil, ibarat kuman di depan mata, telah mencuit banyak pihak yang tiada kena mengena, buat kacau. Kesempatan itu diambil oleh kumpulan si kitol ini bagi ‘menyalakan api kecil dari sebatang lidi mancis, membakar unggun besar, marak menyala, menjadi api, termasuk api perkauman’.
Begitulah padahnya, bila kita rakyat Malaysia, mengalami krisis kemerosotan keupayaan mengurus krisis. Masih amat mudah rupanya untuk pelbagai pihak mencuit si kitol yang semakin ramai, bagi mencurahkan setitik nila ke dalam sebelanga susu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

