PELAWAK, Ali Puteh meluahkan rasa pilu apabila anak-anak turut terkena tempias berhubung kontroversi yang terpalit terhadap dirinya.
Ujar Ali, atau nama lengkapnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, dia berharap agar segala ujian yang dihadapinya dapat membawa jalan penyelesaian buat mereka sekeluarga.
“Mari kita keluar melangkah dari segala kekusutan dan ujian dan terus maju ke depan kerana Allah Maha Adil dan Maha Kaya dan Maha Mendengar.
“Sedih melihat kamu membesar dengan penuh ujian dari walid dan ibu.
“Semoga Allah sentiasa bersama dalam setiap langkah kita sekeluarga,” katanya.
Perkara ini diluahkan Ali menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Dalam masa yang sama, dia juga memberitahu akan sentiasa berada di sisi anak-anaknya untuk melindungi dan membahagiakan mereka.
“Bila kita di bawah, orang tidak akan suka dan tertawa, bila kita di atas juga orang tidak akan pernah diam dan suka melihat kita.
“Selagi ada daya ibu dan walid, akan kami bahagiakan kamu wahai anak.
“Jangan risau jika tiada kawan dan jangan risau jika tiada yg peduli, walid dan ibu sentiasa ada buat kamu wahai anak,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, menerusi hantaran yang sama, adik kepada Allahyarham Abam Bocey ini turut menitipkan pesanan kepada anak-anaknya agar tidak bertelagah dan berpecah belah disebabkan harta apabila meningkat dewasa.
“Kakak, abang dan adik, ingatlah pesan ibu dan walid bila kamu besar nanti.
“Jangan berpecah belah disebabkan kerana harta, jangan berpecah belah disebabkan kerana dunia.
“Jangan termakan disebabkan cacian dan makian daripada orang, membesarlah kamu dengan segala kasih dan sayang sebagai saudara,” jelasnya.
Terdahulu, kemelut antara Ali dan bekas kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali, menyebabkan Ali tidak dapat berjumpa dengan anak saudaranya iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, selama empat tahun.
Namun begitu, dia telah melangsaikan tuntutan saman RM75,486.48 dan akhirnya dapat mendakap Hamzah buat kali pertama, baru-baru ini.
Untuk rekod, ada 18 Februari 2022, Ali bersama tiga ahli keluarganya telah diperintahkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk membayar saman sebanyak RM60,000 kepada Hidayah atas kesalahan mengeluarkan kata-kata mengaibkan dalam Instagram.
Susulan daripada itu, dia terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan program realiti seperti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna, serta menjual motosikal RXZ dan kereta Honda Accord untuk melunaskan hutang tersebut.

