MAHKAMAH Petaling Jaya hari ini membenarkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang.
Peguam, Fahmi Abd Moin memaklumkan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah dihadapkan atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.
Beliau berkata, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Jelasnya, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron telah mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh sebanyak RM15,000 setiap sorang dengan syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi pendakwaan.
“Kami telah berhujah panjang mengenai isu ini dan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang bersama alasan-alasannya.
“Bagaimanapun,mahkamah telah bersetuju untuk memberikan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang serta beberapa syarat yang telah dipersetujui,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Fahmi berkata, pihak pembelaan juga telah memohon ‘gag order’ atau perintah larangan bersuara supaya tidak ada sebarang komen yang dibuat masyarakat luar berkaitan kes ini yang bersifat subjudis.
Katanya, setelah mendengar permohonan, mahkamah hanya membenarkan perintah larangan itu terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes ini.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai 2024 bagi tujuan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di Petaling Jaya, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.
Semalam, ibu Zayn Rayyan tidak membuat pengakuan bersalah di hadapan majistret Mahkamah Petaling Jaya dalam satu prosiding tertutup semalam.
Sebaliknya wanita itu hanya memberi keterangan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Pada Jumaat lalu, ibu bapa Zayn Rayyan disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.
Pada 31 Mei, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada pukul 10.05 pagi, bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.
Penahanan pasangan suami isteri itu mengikut maklumat risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku iaitu pada 6 Disember tahun lalu.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Kehilangan Zayn Rayyan itu membuatkan kumpulan penduduk di kawasan apartmen berkenaan mengaktifkan operasi mencari.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengiring berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya pada keesokan harinya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Kes itu diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

